Kerajaan Kelantan dakwa difitnah gadai tanah Gua Musang

Hanifulfuad (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung isu gadai tanah Gua Musang.
Hanifulfuad (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung isu gadai tanah Gua Musang.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan dakwa difitnah berhubung isu gadai tanah di Mukim Ketil, Bandar Utama Gua Musang.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Hanifulfuad Hussin berkata, empat individu dikenal pasti menerbitkan video berkait perkara itu di akaun TikTok masing-masing.

“Tuduhan ini adalah tidak berasas, bersifat fitnah dan dilihat sebagai satu cubaan untuk memburukkan imej kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

“Kerajaan Kelantan memandang serius penyebaran fitnah seperti ini yang jelas berniat jahat serta berusaha merosakkan kredibiliti dan integriti pentadbiran negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, pada Sabtu.

Justeru, Pejabat Menteri Besar Kelantan membuat satu laporan polis pada Sabtu terhadap individu-individu terbabit supaya tindakan undang-undang dapat dilaksanakan.

“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat penyebaran video-video fitnah dan khianat ini.

“Kami juga menggesa agar tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil terhadap mereka selaras peruntukan mengikut Seksyen 499, 500 dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana undang-undang lain yang berkaitan,” kata Hanifulfuad.

Tambah beliau, kerajaan negeri itu tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk fitnah dan hasutan yang boleh merosakkan kredibiliti mahupun integriti negeri itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga yakin bahawa pihak berkuasa akan menjalankan siasatan yang telus dan mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!