Fahaman GISBH dibawa ke MKI 24 September ini

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

SHAH ALAM - Isu doktrin fahaman syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menjadi salah satu topik perbincangan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang akan bersidang pada 24 hingga 26 September ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, mesyuarat tersebut dikendalikan oleh Pengerusi MKI, Datuk Dr Nooh Gadot dan dianggotai oleh mufti negeri.

Beliau berkata, pihaknya turut menyokong tindakan penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibawah kepimpinan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam menahan ahli-ahli GISBH serta mendakwa mereka ke muka pengadilan.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memberikan kerjasama penuh bagi membantu pihak PDRM dalam proses siasatan isu GISBH.

“Pada masa sama Jakim telah mengadakan pertemuan bersama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada Jumaat memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, ajaran yang dibawa juga adalah kesinambungan ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Sementara itu, pihak berkuasa pada Sabtu melakukan operasi besar-besaran ke atas GISBH termasuk di Rawang, Selangor; Kota Bharu, Kelantan; Nibong Tebal dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang serta tiga daerah di Melaka.

Artikel Berkaitan:

Razarudin dalam kenyataan berkata, jumlah terkini tangkapan berhubung serbuan ke atas premis GISBH sejak 11 September lalu adalah seramai 355 orang termasuk 155 individu yang ditahan pada Sabtu.

Menurut beliau, sekurang-kurangnya seramai 588 mangsa berjaya diselamatkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!