Para Sukma 2024: Penilaian klasifikasi pada tahap 90 peratus

Subramaniam
Subramaniam
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) berjaya mencapai tahap penilaian klasifikasi sebanyak 90 peratus daripada lebih 1,200 atlet terlibat, sebelum temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2024 membuka tirai secara rasmi di Stadium Perpaduan di sini, malam esok.

Setiausaha Agung MPM, Datuk R Subramaniam berkata, kesemua penilaian dilakukan di enam zon seluruh negara sehingga 31 Julai, dengan baki 10 peratus lagi diharap dapat dilengkapkan pada hari ini dan esok, melibatkan antara lain sukan olahraga dan renang.

“MPM diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk melaksanakan sistem klasifikasi atlet dan untuk Para Sukma 2024, kami telah lakukannya di enam zon iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan, Sabah dan Sarawak sejak April, sebelum tarikh sebenar ditutup pada 31 Julai.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa acara yang digugurkan sebelum ini, namun pengelola memutuskan untuk aktifkan semula dengan tetap mencari bakat baharu. Sebab itulah tidak sempat untuk capai tahap 100 peratus setakat ini, ditambah pula dengan kesibukan MPM menghadapi Sukan Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini,” katanya.

Walaupun pihaknya tidak mencapai tahap penilaian klasifikasi sebanyak 100 peratus di kesemua enam zon bersempena Para Sukma 2024, namun Subramaniam optimis situasi tersebut memberi indikasi bahawa mereka mampu memantapkan lagi sistem tersebut untuk edisi seterusnya di Selangor, sejajar dengan misi MPM ke arah klasifikasi sifar pada masa depan.

Subramaniam berkata, sistem penilaian klasifikasi yang julung kali diadakan sebelum Para Sukma berlangsung kali ini, bukan sahaja mengikut piawaian ditetapkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa malah menjimatkan wang ringgit dan tenaga sumber manusia.

“Jika buat sehari sebelum temasya dan seseorang atlet yang datang dari negeri jauh tidak lepas sistem klasifikasi, maka ia amat merugikan bukan sahaja buat diri beliau, malah apa sahaja yang telah dilaburkan,” katanya.

Subramaniam berkata, sistem penilaian klasifikasi lebih awal membawa banyak manfaat buat atlet mahupun majlis sukan negeri, untuk mereka memantapkan kemajuan atlet yang mungkin berpotensi mewakili negara di pentas antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Ini cara yang betul untuk lakukannya, jika buat lebih awal, negeri boleh tahu atlet mana yang boleh dilaburkan dan digilap. Jika tiada klasifikasi, tiada lah sukan para untuk beliau,” katanya.

Sebanyak 328 pingat emas daripada 10 jenis sukan iaitu olahraga, powerlifting, badminton, renang, ping pong, boling padang, memanah, boccia, tenpin boling dan catur menjadi buruan atlet pada Para Sukma 2024. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!