KUSKOP bakal umum satu lagi inisiatif perkasa ekonomi komuniti India

Ramanan. Foto Bernama
Ramanan. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Satu lagi inisiatif khas oleh Kerajaan Madani menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memperkasakan dan memperkukuh ekonomi komuniti India, bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata, satu mesyuarat akan diadakan minggu depan bagi meneliti beberapa perkara yang berbangkit sebelum membuat pengumuman tersebut.

"Selepas berjaya mengusahakan tiga inisiatif khas untuk mempertingkatkan ekonomi usahawan India di negara ini dalam tempoh empat bulan lalu, saya telah mengenal pasti satu lagi inisiatif yang cukup menarik yang dapat membantu usahawan India untuk kemajuan ekonomi mereka.

"Seperti yang saya sering tegaskan sebelum ini, misi dan fokus utama saya ialah memperkasakan ekonomi komuniti India,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Onam Vannallo 3.0 di Dewan NUPW di sini, hari ini.

Program persembahan anjuran Persatuan Malayalee (SFTMA) dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat itu turut dihadiri Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan pengerusi jawatankuasa penganjur program, Datin Sri Shaila Nair selain lebih 800 penonton.

Tiga inisiatif khas yang diumumkan sebelum ini ialah Skim Pembiayaan Pemerkasaan (SPUMI) Goes Big melalui TEKUN Nasional dengan peruntukan RM30 juta; Prosperity, Empowerment and A New Normal (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia dengan peruntukan RM50 juta khusus untuk pemerkasaan wanita India dan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) di bawah Bank Rakyat dengan peruntukan RM50 juta.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh turut menegaskan bahawa Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mendahulukan perpaduan kaum sebagai teras utamanya sejajar dengan gagasan Malaysia Madani.

"Inilah kekuatan Kerajaan Perpaduan hari ini. Perpaduan kaum menjadi pegangan utama demi menjamin harapan semua kaum,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!