Pengundian Pilihan Raya Presiden Sri Lanka berakhir dengan aman

Kakitangan keselamatan dan pegawai pilihan raya mengangkut peti undi yang dimeterai ke pusat pengiraan undi pada penghujung pengundian dalam pilihan raya presiden Sri Lanka di Colombo. Foto AFP
Kakitangan keselamatan dan pegawai pilihan raya mengangkut peti undi yang dimeterai ke pusat pengiraan undi pada penghujung pengundian dalam pilihan raya presiden Sri Lanka di Colombo. Foto AFP
A
A
A

COLOMBO - Pengundian untuk Pilihan Raya Presiden di Sri Lanka berakhir dengan aman pada petang Sabtu dengan penjumlahan undi dijangka bermula, lapor Xinhua.

Pengundian bermula pada jam 7 pagi waktu tempatan pada Sabtu dan secara rasmi berakhir pada 4 petang di lebih 13,000 pusat mengundi yang disediakan untuk pilihan raya itu.

Satu pengaturan keselamatan yang menyeluruh telah dilaksanakan di seluruh negara, dengan kira-kira 63,000 pegawai polis ditugaskan untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar dan selamat, menurut laporan media tempatan.

Lebih 17 juta orang layak mengundi dalam Pilihan Raya Presiden kali ini, dan dilaporkan peratusan keluar mengundi keseluruhan sehingga pukul 2 petang melebihi 60 peratus.

Sebanyak 38 calon bertanding dalam Pilihan Raya Presiden tahun ini, termasuk penyandang Presiden Ranil Wickremesinghe, Sajith Premadasa daripada pembangkang Samagi Jana Balawega, dan Anura Kumara Dissanayake daripada Kuasa Rakyat Nasional.

Seorang calon memerlukan lebih daripada 50 peratus undi untuk memenangi pilihan raya. Jika tiada calon memperoleh majoriti diperlukan, ia boleh membawa kepada pusingan kedua pengiraan undi dengan pilihan kedua atau ketiga pengundi akan dikira untuk dua calon teratas.

Gotabaya Rajapaksa yang memenangi Pilihan Raya Presiden pada November 2019, meletak jawatan pada Julai 2022 berikutan krisis ekonomi yang teruk di negara Asia Selatan itu.

Wickremesinghe telah dipilih sebagai presiden dalam undian yang diadakan di Parlimen selepas peletakan jawatan Rajapaksa. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!