Kelayakan Piala Asia B20: Malaysia tundukkan Oman 2-1
SKUAD bawah 19 tahun (B-19) negara berjaya menundukkan Oman 2-1 dalam aksi Kumpulan E, Kempen Kelayakan Piala Asia bawah 20 tahun (B-20) di Stadium Republican Central, Dushanbee pada Sabtu.
Kemenangan itu sekali gus menjadi langkah kanan buat skuad kendalian Juan Torres Garrido itu dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia di China pada Februari tahun depan.
Dalam perlawanan itu, skuad negara hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi gerakan Mohammad Haykal Danish, namun percubaannya terkena tiang gol dan tindakan susulan selepas itu ditangkap oleh penjaga gol Oman, Abdullah Al Jabri.
Oman turut menguji Malaysia menerusi sepakan percuma diambil oleh Said Ghasib Al Ghanboosi yang sedikit melambung tinggi melewati gawang dikawal Haziq Aiman.
Gol Harimau Muda terhasil pada minit ke-30 menerusi sepakan percuma Mohammad Haykal yang disambar oleh pertahanan negara, Moses Raj untuk meletakkan skuad negara di hadapan.
Bersambung separuh masa kedua, Oman hampir menyamakan kedudukan berpunca kesilapan pertahanan Moses Raj, namun pintu gol negara terselamat selepas percubaan pemain gantian Faisal Al Hadidi diselamatkan Haziq.
Malaysia berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas Mohammad Haykal dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-65.
Dia yang ditugaskan mengambil sepakan itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan Abdullah untuk gol kedua Harimau Muda.
Giliran Oman pula dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-87 dan Majid Al Farsi mudah untuk menewaskan Haziq untuk merapatkan kedudukan.
Bagaimanapun usaha Oman untuk mencari gol penyamaan tidak berhasil dan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.
Skuad muda negara akan bertemu Korea Utara dalam perlawanan kedua pada Isnin sebelum bertemu Tajikistan pada 27 September dan menutup aksi kumpulan dengan menentang Sri Lanka pada 28 September.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!