Chelsea tambah derita West Ham
CHELSEA melebarkan rentak kemenangan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila membawa pulang tiga mata selepas menewaskan West Ham United, 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium London pada Sabtu.
The Blues kendalian Enzo Maresca yang masih segar dengan kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth pada 15 September lalu meledak tiga gol menerusi Nicolas Jackson (m-4, m-18) dan Cole Palmer (m-47).
Tiga mata itu membolehkan Chelsea mengumpul 10 mata selepas mengharungi lima perlawanan hasil tiga menang, satu seri, satu tewas musim ini.
Kejayaan itu juga menjadi kemenangan ketiga buat The Blues dalam lima perlawanan EPL di bawah kendalian bekas pengendali Leicester City.
Sebagai rekod, Chelsea memenangi semua tiga perlawanan liga di tempat lawan musim ini, hanya tewas 2-4 kepada penyandang juara Manchester City.
Sementara itu, kekalahan ketiga selepas mengharungi lima perlawanan tersebut menyaksikan The Hammers kendalian Julen Lopetegui, berada di tangga ke-14 dengan mengumpul empat mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!