GISBH: 155 suspek lagi ditahan, 186 mangsa diselamatkan

Tan Sri Razarudin Husain. Foto Bernama
Tan Sri Razarudin Husain. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kanak-kanak lelaki yang videonya tular kerana dirotan oleh seorang anggota GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menjadi antara 186 mangsa berjaya diselamatkan dalam Op Global fasa empat di seluruh Semenanjung Malaysia hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita.

Beliau berkata, dalam serbuan pada awal pagi di 82 premis seperti rumah amal, klinik, maahad serta kediaman persendirian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH, polis turut menahan 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita.

"Operasi fasa empat ini dilakukan bagi mengesan saki-baki ahli GISBH. Ia melibatkan seramai 3,801 sumber manusia iaitu 2,528 pegawai dan anggota PDRM serta 1,273 kakitangan agensi kerajaan antaranya Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) Jabatan Kimia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

"Dalam operasi yang disertai Jakim ini, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat turut dirampas,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Razarudin berkata, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Semasa serbuan, katanya, beberapa premis terbabit didapati kosong selepas anggota GISBH dipercayai melarikan susulan operasi yang dilakukan oleh polis di lokasi dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Ia bagi membantu polis melengkapkan siasatan terhadap kes ini secara tuntas dan menyeluruh,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!