Tiada cadangan sekat warga China kecuali dari Wuhan, Wilayah Hubei
JOHOR BAHRU - Kerajaan tidak bercadang mengenakan sekatan terhadap semua pelawat warganegara China kecuali dari Wilayah Hubei termasuk Bandar Wuhan untuk memasuki negara ini memandangkan tiada keperluan berbuat demikian setakat ini.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak Jabatan Imigresen sentiasa berpandukan kepada keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung status koronavirus di negara ini.
“Jadi di Jabatan Imigresen berpandukan kepada keputusan dibuat KKM. Jangan salah faham, hanya bila KKM nyatakan perlu kita kawal, kita akan guna Akta Imigresen untuk kenakan sekatan macam yang kita telah putuskan (ke atas warganegara China dari Wilayah Hubei, termasuk Bandar Wuhan).
“Jadi setakat ini, masih kekal (sekatan ke atas warganegara China dari Wilayah Hubei, termasuk Bandar Wuhan) sehingga ada isyarat (baharu) daripada KKM, maka barulah kita (putuskan kelak),” katanya selepas meninjau saringan kesihatan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kebimbangan orang ramai berhubung keputusan kerajaan, yang hanya membuat sekatan terhadap warganegara China dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan dan bukannya daripada keseluruhan negara tersebut.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) tidak meminta supaya negara “menyekat sepenuhnya” kemasukan warganegara China ke negara masing-masing meskipun pertubuhan itu mengumumkan koronavirus sebagai darurat kesihatan awam global.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya bersedia untuk bertindak mengikut keperluan dan sentiasa memantau pintu masuk negara bagi mengawal penularan koronavirus.
“Dari 27 Januari hingga semalam (3 Februari), sejumlah 147 orang yang dihalang masuk ke Malaysia, semuanya dari Wuhan serta (dalam wilayah) Hubei di negara China. Paling tinggi kemasukan adalah melalui Pelabuhan Klang iaitu 65 orang yang terdiri daripada kelasi dan mereka yang bekerja di kapal,” katanya.
Ketika ditanya sama alat pengimbas haba yang ditempatkan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) mencukupi, beliau berkata, terdapat keperluan untuk menambah bilangan alat itu memandangkan 70 peratus pelawat yang masuk ke negara ini menggunakan laluan tersebut.
Sementara itu, ditanya sama ada perlu membatalkan Festival Perarakan Chingay yang dijadual berlangsung di sini pada 14 Februari ini, Muhyiddin berkata, tiada keperluan berbuat demikian.
“Kita dah kawal pintu masuk jadi buat apa kita batalkan (Chingay)?...yang dah ada dalam negara untuk saksikan, tidak perlu ada halangan atau sekatan, buat apa kita batalkan majlis, tidak perlu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: KKM sahkan kes pertama warganegara Malaysia positif koronavirus
Dalam satu sidang media hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu seorang lelaki berusia 41 tahun menjadi rakyat Malaysia pertama positif koronavirus disahkan semalam.
Beliau berkata, selain lelaki warga Selangor itu, satu lagi kes terbaru positif virus berkenaan adalah lelaki warga emas berusia 63 tahun dari Wuhan, China.
Beliau berkata, rakyat Malaysia yang dijangkiti koronavirus itu mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura pada 16 hingga 23 Januari lalu dan mula mendapat gejala pada 29 Januari dan mendapatkan rawatan ke sebuah hospital swasta.
"Mangsa menghadiri mesyuarat yang turut dihadiri beberapa delegasi antarabangsa termasuk dari China.
"Selepas pulang ke Malaysia, mangsa mengalami batuk dan demam. Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari lalu dan hasil ujian yang dilakukan telah disahkan positif koronavirus semalam.
"Mangsa kini dalam keadaan stabil. Kita kini sedang bekerjasama dengan pihak kesihatan negara jiran tersebut untuk mengenal pasti contact tracing.
"Keluarga terdekat mangsa juga dalam pemantauan dan kita juga lakukan contact tracing," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!