GISBH: 'Mereka menghilang, kedai ditinggal terbiar'
SEREMBAN - Beberapa premis perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Seremban 2 di sini didakwa ditutup sejak Rabu lalu.
Tinjauan Sinar Harian di sebuah kedai makan milik mereka mendapati keadaan premis seperti ditinggalkan dalam keadaan 'tergesa-gesa'.
Ini kerana peralatan memasak seperti kuali, periuk dan adunan kuih di dalam bekas dibiarkan tinggal begitu saja.
Malah ada peralatan memasak dan bekas makanan turut dibiarkan di dalam singki tanpa dibasuh.
Seorang peniaga mendakwa kedai tersebut bukan saja ditutup sejak Rabu lalu, malah turut tidak kelihatan lagi kelibat pekerja mereka.
"Masa mula-mula isu berkaitan GISBH ini kecoh, kedai mereka buka lagi macam biasa walaupun pelanggan yang datang tak lagi ramai seperti dulu.
"Tapi tak silap saya sejak Rabu lalu semua premis perniagaan mereka ini tak beroperasi. Saya pun tak nampak lagi kelibat pekerja mereka kerana kita boleh kenal berdasarkan imej kopiah yang dipakai," katanya.
Peniaga lain pula memberitahu, terdapat beberapa individu kelihatan seperti pihak berkuasa datang ke premis terbabit untuk mencari kumpulan mereka.
Bagaimanapun katanya, dia tidak pasti jika 'kehilangan' pekerja premis GISBH di situ disebabkan telah ditahan pihak berkuasa.
Antara aktiviti perniagaan dijalankan di situ ialah kedai runcit, kedai cendol, cafe, bakeri dan warung menjual kuih.
Sebelum ini, media melaporkan polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 11 September lalu.
Hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit.
Susulan kes itu, katanya, seramai 171 individu ditahan termasuk 105 wanita berusia 17 dan 64 tahun.
Berdasarkan maklumat serta siasatan dilakukan, polis mengesyaki GISBH melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!