Isu GISBH: Pas sokong hukum pihak bersalah, hindari ketidakadilan
SHAH ALAM - Pas menggesa semua langkah diambil dalam isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) perlu dibuat teliti bagi memastikan tidak berlakunya pengabaian hak, ketidakadilan, dwistandard atau tindakan berlebihan-lebihan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas menyokong penuh tindakan tegas diambil ke atas pihak didapati bersalah, tetapi keghairahan untuk menghukum tidak seharusnya memberi kesan buruk ke atas kumpulan itu secara keseluruhan.
"Pas mengalu-alukan siasatan telus, terperinci dan profesional ke atas pelbagai dakwaan terhadap GISBH mengikut undang-undang sesuai merangkumi aspek kepercayaan, pegangan keagamaan mahupun isu lain seperti amalan perniagaan, salah laku seksual, penganiayaan, perbuatan jenayah serta lain-lain.
"Tetapi keghairahan untuk menghukum mereka tidak seharusnya memberi kesan buruk terhadap ahli-ahli yang tidak bersalah atau aspek-aspek aktiviti GISBH yang sah, patuh undang-undang dan bermanfaat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan semua agensi mengambil tindakan segera terhadap kegiatan GISBH.
Baginda bertitah, kelewatan menangani isu tersebut menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan hingga menyebabkan masalah menjadi begitu serius dan tidak terkawal.
Baginda tidak mahu pihak berwajib diumpamakan sebagai 'tin kosong' yang hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya.
Tambah Takiyuddin, Pas percaya sisi positif kumpulan berkenaan seperti jaringan perniagaan yang luas hendaklah dipelihara dan dilindungi daripada tindakan terburu-buru serta tidak adil mungkin berpunca daripada sentimen melulu, prasangka, persaingan perniagaan atau agenda politik tertentu pihak menangguk di air keruh.
"Namun begitu, berdasarkan kempen dan naratif negatif berkait kumpulan ini yang banyak tersiar di media sosial khasnya, yang mahu tindakan segera serta tegas diambil.
"Pas mengikuti rapat perkembangan siasatan terhadap GISBH berkait beberapa isu termasuk fahaman salah dan eksploitasi kanak-kanak yang antaranya melibatkan polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak berkuasa agama negeri-negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!