Perjalanan Chelsea ke puncak masih jauh

Jackson dan Palmer dua watak penting ketika menjelmakan tiga mata Chelsea. Foto Agensi
Jackson dan Palmer dua watak penting ketika menjelmakan tiga mata Chelsea. Foto Agensi
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Enzo Maresca enggan terbawa-bawa status ketua jurulatih pertama memenangi tiga perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris di tempat lawan sejak bekas mentornya, Pep Guardiola pada 2016.

Maresca yang pernah menjadi penolong Guardiola di Manchester City, menyelia kemenangan bergaya Chelsea 3-0 ke atas West Ham United di Stadium London pada Sabtu, percaya skuad muda The Blues semakin berdaya maju biarpun masih terdapat ruang penambahbaikan

"Cara pemain mempraktikkan idea atau gaya, sejak saya tiba adalah yang terbaik.

"Saya fikir kita berada di jalan dan arah yang betul. Tetapi perjalanan masih panjang," kata Maresca.

Sebagai rekod, Maresca jurulatih tetap keempat yang bekerja untuk pemilik Chelsea dari Amerika Syarikat sejak mereka membeli kelab itu pada 2022.

Penyerang Chelsea, Nicolas Jackson menjaringkan gol pada minit keempat dan ke-18 sebelum Cole Palmer menjadikan kedudukan 3-0 selepas separuh masa.

Chelsea terdesak untuk memulihkan status sebagai pemain utama Inggeris dan Eropah selepas menduduki tempat ke-12 dua musim lalu dan keenam dalam kempen terakhir.

Pemilik bersama Todd Boehly dan Behdad Eghbali hadir di Stadium London pada Sabtu, walaupun laporan media menyebut mengenai keretakan hubungan mereka.

Artikel Berkaitan:

Kedua-duanya mengucapkan tahniah kepada pemain serta kakitangan kejurulatihan selepas perlawanan.

“Mereka berada di bilik persalinan, mereka semua gembira. Sasaran utama pada masa ini adalah untuk melihat bagaimana kami maju sebagai satu pasukan.

"Saya fikir kami meningkat dalam banyak perkara walaupun hari ini kami boleh menyerang dan bertahan dengan lebih baik,” kata Maresca.

Sementara itu, pengendali West Ham United, Julen Lopetegui berkata, dia sangat kecewa apabila pasukannya memberikan dua gol awal kepada Chelsea hasil kesilapan pertahanan.

Ditanya tentang ejekan daripada penyokong The Hammers semasa perlawanan, Lopetegui meminta kesabaran daripada golongan tersebut.

"Pastinya kumpulan pemain ini akan perbaiki seterusnya memberikan penyokong semula hari-hari terbaik," kata pengendali dari Sepanyol itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!