CBS Temerloh terima pengiktirafan MBOR
TEMERLOH - Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) sekali lagi menempa sejarah apabila tapak jualan but kereta atau car boot sale (CBS) Temerloh menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai CBS terbesar di negara ini.
Mula beroperasi pada Oktober 2014 di Lurah Semantan hingga kini, CBS itu memiliki keluasan 3,497.58 meter persegi dengan lebih kehadiran 200 peniaga dan hingga 3,000 pengunjung pada setiap Sabtu.
Sijil pengiktirafan itu diserahkan oleh wakil MBOR, Mohamad Nazrul Hafiz Ahmad Fauzi dan Siti Nurhanim Mohd Noh kepada Yang Dipertua MPT, Suris Mihat dan penganjur CBS Temerloh, Khairul Najmi Ahamad @Ahmad disaksikan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan dan Pengarah Wilayah RHB Bank, Yusof Ng Abdullah.
Turut berlangsung perasmian tapak Temerloh Umbrella dan Art Street serta kolaborasi dengan RHB Bank untuk menggalakkan peniaga menggunakan transaksi tanpa tunai.
Suris dalam ucapannya, gembira dengan pencapaian yang diraih dan berharap lebih banyak dapat dicapai oleh MPT selepas ini.
"Rekod tertinggi yang pernah dicapai oleh CBS Temerloh ketika Aidilfitri lalu iaitu 7,000 hingga 8,000 pengunjung," katanya lagi.
Yu Man dalam ucapannya pula memberitahu, kerajaan negeri amat memerlukan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang agresif, komited dalam merancakkan sektor pelancongan di kawasan masing-masing dan menghargai usaha yang dilakukan oleh MPT.
Sementara itu, Khairul Najmi bersyukur dengan pengiktirafan tersebut sekali gus dapat menaikkan nama Temerloh menerusi CBS terbabit yang kini menjadi antara salah satu tarikan pelancongan di daerah itu.
"Ia juga satu kebanggaan buat warga Temerloh dan kerja keras kami selama 10 tahun menaikkan nama CBS Temerloh tercapai.
"Kami juga bertuah dan menghargai sokongan yang diberikan oleh MPT, peniaga dan pengunjung menaikkan nama CBS Temerloh selama ini," katanya lagi.
Sebelum ini, MPT meraih dua Sijil MBOR menerusi Pekan Sehari Temerloh iaitu Pasar Pagi Terpanjang Malaysia dan Bilangan Peniaga Pasar Pagi Terbanyak pada Disember tahun lalu.
Pada April tahun ini, MPT menerima sekali lagi sijil MBOR menerusi penganjuran majlis iftar anjurannya untuk diisytihar sebagai terpanjang di negara ini di Esplanade Temerloh 1 dan 2 dengan jarak 2,168 meter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!