'Kalau setiap keluarga ada RM1 juta, siapa yang nak kerja?' - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mempersoal cadangan yang diberikan oleh pihak yang meminta kerajaan memberikan wang RM1 juta kepada setiap keluarga di negara ini.

Menurutnya, terdapat sesetengah idea bunyinya bagus, namun tidak semestinya boleh dilaksanakan.

"Mungkin ini pemikiran Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bila dia mencadangkan kerajaan mencetak wang. Kalau kita cetak wang, mungkin kita boleh laksana idea untuk bagi RM1 juta setiap keluarga.

"Tapi ada sebab kenapa tidak ada kerajaan yang mengambil jalan mencetak wang begini. Jom kita kira, jumlah wang yang diperlukan untuk setiap keluarga, lapan juta isi rumah x RM1 juta berjumlah lapan trilion ringgit," katanya menerusi hantaran video di sosial media miliknya pada Ahad.

Bagaimanapun menurut Rafizi, ekonomi dan kewangan negara mempunyai perkiraan dan formula yang lebih rumit.

Sekiranya dicetak wang sebanyak itu, jelas beliau, inflasi akan naik dan nilai ringgit jatuh mendadak sebagaimana wang 'pokok pisang' era penjajahan Jepun 1940-1945.

"Kalau kita pinjam, jumlah hutang negara akan mencecah 500 peratus daripada saiz ekonomi. Mustahil ada peminjam yang akan meminjamkan begitu banyak wang kepada Malaysia.

"Kalau ada pun yang sanggup membeli bon kerajaan untuk mengumpul dana RM8 trilion itu, mereka akan mengenakan kupon faedah yang sangat tinggi, mungkin mencecah 20%.

Artikel Berkaitan:

"Setiap tahun, kerajaan perlu membayar lebih RM1 trilion sebagai faedah sahaja sedangkan pendapatan kerajaan tidak mencecah RM400 bilion," katanya.

Ujar Rafizi lagi, individu membuat cadangan tersebut perlu berfikir siapa pula rakyat yang akan bekerja dan menjana produktiviti sekiranya setiap keluarga telah kaya raya.

"Yang paling penting, kalau setiap keluarga ada RM1 juta, siapa yang nak kerja? Semua dah jadi jutawan, kita ada masalah kerana semua perniagaan dan pejabat mungkin akan tutup!

"Sebab itu, ada sesetengah idea ni, walaupun bunyi bagus tapi tidak semestinya boleh dilaksanakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!