[VIDEO] Kerajaan Selangor ambil tindakan lebih agresif terhadap GISBH - MB
GOMBAK - Kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan lebih jitu dalam menangani isu penyelewengan akidah membabitkan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) di negeri berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri juga pasti akan bertindak secara lebih agresif terhadap kumpulan terbabit sekiranya mendapat maklumat berkaitan lebih awal.
"Saya baharu dapatkan sebahagian laporan secara lisan, saya perlu dapatkan secara detail (lengkap).
"Pada Khamis lepas, polis, MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) dan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor), dipanggil menghadap oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Sultan Selangor.
"Kalau hal ini diberi maklum daripada awal saya pasti kita bertindak dengan lebih agresif terhadap kumpulan ini terutama dalam soal penyelewengan akidah," katanya ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gombak di Masjid Jamek Al Amaniah di sini pada Ahad.
Menteri Besar mengulas lanjut berkata, beliau berharap tindakan dapat diambil penguat kuasa agama dan polis supaya kesalahfahaman dan kerosakan dibina GISBH selama ini dapat dibanteras.
"Saya diberi maklum pada awalnya agak sukar untuk mengesan isu berkait penyelewengan akidah.
Global Ikwan (GISBH) sebagai contoh, kerana mereka mengubah penampilan dalam bentuk perniagaan.
"Yang kedua, ajaran dan juga konten-konten mereka yang dikatakan menyeleweng diajar di dalam lingkaran keluarga mereka sahaja, jadi ia tidak terkeluar dan hanya selepas ada kes laporan polis dan aduan tentang penderaan membuka lebih banyak pencetus dan pintu-pintu yang boleh diteroka.
"Bagaimanapun biar pihak polis menyiasat dan melaksanakan tugas mereka," ujarnya.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dilaporkan akan membentang semua penelitian berhubung kegiatan GISBH pada 30 September ini.
Mufti Selangor, Datuk Prof Madya Anhar Opir turut dilaporkan berkata, pihaknya sedang mengkaji dan menilai semua bahan bukti diterima daripada polis dan JAIS selain keterangan individu terlibat.
Pada Sabtu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap hasil pembongkaran kegiatan GISBH yang disyaki melakukan jenayah berat.
Berikutan itu baginda menitahkan, pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan terhadap GISBH selain mahu rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan kumpuan itu yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup.
Baginda juga menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!