[VIDEO] Undi tak percaya, Kerajaan Perpaduan tidak goyah - Ahmad Zahid

A
A
A

KLUANG - Solidariti ahli-ahli Parlimen kerajaan tidak akan menggoyahkan kedudukan Kerajaan Perpaduan meskipun Perikatan Nasional (PN) membuat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan sokongan 153 wakil rakyat iaitu melebihi dua pertiga berbanding 222 kerusi Parlimen, gabungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan akan terus kukuh.

Zahid bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang, pada Ahad
Zahid bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang, pada Ahad

"Jika ada usul undi percaya atau undi tidak (percaya) sekalipun, PN mempunyai jalan untuk mencari beberapa pendekatan bagi goyangkan kerajaan yang ada.

"Tapi dengan adanya 153 dukungan ahli Parlimen, ia melebihi daripada dua pertiga (148 kerusi) dan kita yakin solidariti yang ada di dalam Kerajaan perpaduan.

"(Kerajaan) ini akan terus kukuh dan tidak goyah walau apa pun yang cuba dilakukan oleh pihak pembangkang dalam PN," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang, di sini pada Ahad.

Pada Jumaat, Anwar mencabar pembangkang menghantar usul undi tidak percaya terhadap beliau pada Sidang Dewan Rakyat Oktober ini.

Beliau berkata, pembangkang perlu mengikut undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya menggesanya untuk melepaskan jawatan.

Artikel Berkaitan:

Cabaran tersebut dizahirkan Anwar ketika Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Ia susulan beberapa perwakilan dan pimpinan Pas menuntut Anwar meletak jawatan pada Muktamar Tahunan ke-70 parti berkenaan di Temerloh, minggu lalu.

Pada Disember 2022, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya dibentangkan di Dewan Rakyat.

Usul percaya itu bertujuan membuktikan Anwar daripada Pakatan Harapan (PH), yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022 mendapat sokongan ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Berdasarkan sokongan mengikut parti, jumlah ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar ini ialah seramai 148 orang.

Ia merangkumi daripada PH 82, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan Parti Srawak (GPS) 23, Gagasan Rakyat Sabah (GRS) 6, Parti Warisan (Warisan) 3, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) 1, Parti Bangsa Malaysia (PBM) 1, dan Bebas 2 kerusi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!