Masyarakat perlu lebih aktif perangi rasuah

Masyarakat perlu dilibatkan secara aktif dalam memantau dan melaporkan sebarang kegiatan rasuah dan salah guna kuasa. (Gambar kecil: Hamdan) Gambar hiasan
Masyarakat perlu dilibatkan secara aktif dalam memantau dan melaporkan sebarang kegiatan rasuah dan salah guna kuasa. (Gambar kecil: Hamdan) Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat perlu dilibatkan secara aktif dalam memantau dan melaporkan sebarang kegiatan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di sekeliling mereka.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, saluran pengaduan yang selamat pula wajar disediakan bagi membolehkan sesiapa sahaja melaporkan jenayah rasuah tanpa takut akan pembalasan.

"Program-program kesedaran awam mengenai hak dan tanggungjawab serta cara melaporkan jenayah perlu lebih diperluas ke seluruh pelusuk negara.

"Selain itu, pihak berkuasa turut perlu memberi jaminan bahawa setiap aduan akan disiasat dengan telus dan berkesan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan mengambil rasuah sebanyak RM1,500 sebagai balasan melepaskan dua suspek terlibat kes milikan air ketum, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafiz Anuar, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Tambah Hamdan Daniel, kes melibatkan anggota polis terlibat dalam pertuduhan rasuah merupakan berita tidak enak didengar kerana masyarakat mengharapkan kumpulan itu menjaga ketenteraman dan keselamatan awam serta menjadi benteng negara sebaliknya terpalit rasuah.

"Ini satu perkembangan tidak sihat malah membimbangkan, pihak yang sepatunya menjaga ketenteraman negara tetapi tewas dalam melawan ancaman rasuah yang semakin membarah dalam negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Jika perkara ini berterusan, di mana lagi rakyat ingin bergantung. Seperti harapkan pagar, pagar makan padi. Malahan kes seumpama ini memberikan imej buruk kepada penjawat awam.

"Justeru, diharap kes seperti ini tidak berulang dan kegiatan rasuah haruslah ditamatkan dengan segera agar Malaysia terus stabil dalam ekonomi dan sebagainya. Seluruh lapisan masyarakat harus menolak rasuah dalam kehidupan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!