Dr Akmal digesa mohon maaf kepada Teresa Kok - DAP Johor

Dr Boo Cheng Hau
Dr Boo Cheng Hau
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh digesa memohon maaf kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan menyelesaikan pertikaian undang-undang antara mereka secara baik.

Gesaan itu dibuat Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau susulan keputusan Jemaah Menteri baru-baru ini tidak mewajibkan pensijilan halal kepada semua restoran yang selaras Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Cheng Hau menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan sewajibnya menjadi prinsip bimbingan bagi kerajaan semasa untuk menentukan segala dasar.

"Semua parti dan pemimpin politik perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai Undang-undang Tertinggi dan Kontrak Sosial tubuh negara termasuk Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama manakala Islam kekal sebagai agama rasmi.

"Perkara 3 juga menyatakan bahawa perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama ditadbir urus oleh sebuah Majlis yang ditubuhkan oleh Raja-raja Melayu di bawah nasihat Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, keputusan kabinet membuktikan kebimbangan Naib Presiden DAP terhadap perkara itu adalah berdasarkan kedaulatan undang-undang dan pandangan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

"Pandangannya mencerminkan kebimbangan daripada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil Melayu dan Bukan Melayu ketika rakyat menghadapi masalah ekonomi dan kecewa terhadap politik perkauman dan kepercayaan agama yang ekstrim," ujarnya.

Dalam pada itu, Cheng Hau juga meminta Dr Akmal memohon maaf secara mutlak kepada semua rakyat Malaysia bagi menunjukkan beliau adalah pemimpin yang matang dan berpotensi dengan tidak mengulangi politik ‘terlampau’.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Teresa Kok menyatakan beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Ketua Pemuda UMNO itu.

Ia berikutan kenyataan Dr Akmal yang mahu menampal logo tidak halal pada dahi Ahli Parlimen daripada DAP tersebut.

Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Katanya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Menerusi satu hantaran video di TikTok sebelum ini, Dr Akmal melabelkan Teresa sebagai ‘nyonya tua’ dan tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!