[VIDEO] Dakwa BN guna jentera kerajaan tapi calon PN hadir program sama - MB Johor

A
A
A

KLUANG - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menempelak Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa Barisan Nasional (BN) menggunakan aset dan jentera kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menerusi penganjuran program Jelajah Orang Mahkota.

Onn Hafiz Ghazi
Onn Hafiz Ghazi

Sedangkan, menurutnya, calon PN, Mohamad Haizan Jaafar turut menghadiri salah satu program berkaitan.

"Saya difahamkan bahawa calon PN sendiri pun pergi bersama-sama dalam program tersebut. PN mungkin sudah tidak ada modal (politik).

"Dia (PN) gunakan (isu anjuran program) itu sebagai retorik politiklah," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang, di sini pada Ahad.

Hantaran di Facebook PN Mahkota menunjukkan calon PN hadir pada Program Mini Karnival Tentera Darat 2024, berlangsung di Persiaran Dato' Haji Ismail Hassan, Kluang, diiringi Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor.
Hantaran di Facebook PN Mahkota menunjukkan calon PN hadir pada Program Mini Karnival Tentera Darat 2024, berlangsung di Persiaran Dato' Haji Ismail Hassan, Kluang, diiringi Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor.

Pada Sabtu, PN membuat laporan polis selepas mendakwa program Jom Orang Mahkota iaitu siri jelajah bertemu rakyat yang diketuai Onn Hafiz dan turut disertai calon BN bagi PRK DUN Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Gerak Gempur PN Kluang, Shazni Sulaiman mendakwa, program itu menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada penduduk DUN Mahkota yang bakal mengundi pada PRK pada Sabtu depan, sekali gus boleh dianggap sebagai rasuah.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Shazni mendakwa, program yang berlangsung selama dua hari itu turut menggunakan aset kerajaan selain kakitangan awam dikerah bagi menjayakannya.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor menyangkal dakwaan program tersebut bermotifkan kepentingan politik sebaliknya ia dianjurkan untuk manfaat penduduk setempat tidak kira parti.

"Ini bukan program politik, tapi ini program untuk rakyat, maka orang BN, PN atau Pakatan Harapan (PH) atau sesiapa sahaja pun boleh hadir ke program itu,” katanya.

Sementara itu, PN Mahkota menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, menunjukkan calon PN hadir pada Program Mini Karnival Tentera Darat 2024, berlangsung di Persiaran Dato' Haji Ismail Hassan, di sini diiringi Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor dengan turut menyantuni pengunjung karnival berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!