7,334 suri rumah di Kedah carum SKSSR

Mohammed Taufiq (tengah) menyerahkan faedah dan alat pemulihan kepada pencarum dalam Program Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat dan Seranta peringkat Pejabat Perkeso Sungai Petani 2024 pada Ahad.
Mohammed Taufiq (tengah) menyerahkan faedah dan alat pemulihan kepada pencarum dalam Program Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat dan Seranta peringkat Pejabat Perkeso Sungai Petani 2024 pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 7,334 suri rumah di Kedah mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sekali gus membolehkan mereka dilindungi sekiranya berhadapan kemalangan, penyakit atau insiden berkaitan rumah tangga.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah, Rak Boon Tan Rat berkata, angka tersebut merupakan jumlah pencarum terkini bermula Januari 2024 hingga Ogos lalu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 1,033 Suri Rumah Berinsurans (SRB) mencarum secara sukarela manakala selebihnya ditaja kerajaan.

"Statistik menunjukkan Perkeso Sungai Petani merekodkan jumlah caruman SKSSR secara sukarela tertinggi iaitu sebanyak 373 SRB diikuti Perkeso Negeri Kedah (Alor Setar) sebanyak 367 SRB, Perkeso Kulim sebanyak 263 SRB dan Perkeso Langkawi sebanyak 30 SRB,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat dan Seranta peringkat Pejabat Perkeso Sungai Petani 2024 di sini pada Ahad.

Hadir sama merasmikan program, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Bagaimanapun, menurut Rak Boon, jumlah tersebut masih di tahap rendah dan pihaknya mengalu-alukan lebih ramai suri rumah untuk mencarum skim berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mohammed Taufiq (tengah) bersama penerima faedah dan alat pemulihan serta Anugerah Majikan Prihatin semasa Program Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat dan Seranta peringkat Pejabat Perkeso Sungai Petani 2024 pada Ahad.
Mohammed Taufiq (tengah) bersama penerima faedah dan alat pemulihan serta Anugerah Majikan Prihatin semasa Program Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat dan Seranta peringkat Pejabat Perkeso Sungai Petani 2024 pada Ahad.

"Walaupun pekerjaan suri rumah tidak formal tetapi turut terdedah kepada bahaya dan bencana domestik.

"Ia juga bagi melindungi dari risiko apa-apa penyakit yang menjejaskan keupayaan suri rumah dalam menguruskan rumah tangga,"katanya.

Sementara itu, Mohammed Taufiq berkata, pihaknya telah menaja bayaran caruman SKSSR berjumlah RM12,000 kepada 100 suri rumah di Parlimen Sungai Petani untuk tempoh setahun dalam usaha membantu golongan memerlukan.

"Ramai beranggapan Perkeso hanya melindungi mereka yang bekerja namun sebenarnya lebih luas daripada itu, termasuk orang yang bekerja sendiri dan mereka yang tidak bekerja seperti suri rumah,"katanya.

Dalam majlis sama, Mohammed Taufiq turut berkesempatan menyampaikan Anugerah Majikan Prihatin, Tajaan SKSSR, faedah dan alat pemulihan bagi penerima terpilih.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!