Kamala Harris sedia untuk debat kedua, Trump masih berdiam diri

Donald Trump (kiri) dan Kamala Harris. Foto AFP
Donald Trump (kiri) dan Kamala Harris. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Calon presiden Demokrat, Kamala Harris secara rasmi bersetuju untuk menyertai debat kedua menentang pencabarnya dari parti Republikan, Donald Trump namun, tidak dapat dipastikan sama ada debat itu akan berlangsung.

"Naib Presiden Harris bersedia untuk satu lagi peluang berdebat dengan Donald Trump dan beliau menerima jemputan CNN untuk debat pada 23 Oktober,” menurut kenyataan daripada pasukan kempennya pada Sabtu.

Bekas presiden itu tidak memberikan sebarang komen pada awalnya, tetapi sehingga kini beliau menolak untuk mengadakan debat kali kedua dengan Harris, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

Kedua-duanya terlibat dalam perbahasan sengit pada 10 September yang dianjurkan oleh ABC, di mana calon Demokrat itu beberapa kali mengasak Trump.

Menerusi hasil tinjauan oleh CNN, 63 peratus responden melihat Harris sebagai pemenang, berbanding 37 peratus memihak kepada Trump.

Namun begitu, bekas presiden itu menegaskan bahawa beliau memenangi debat itu.

Harris kemudiannya menyeru agar diadakan debat kedua, namun Trump mengumumkan bahawa beliau tidak mahu menyertai sebarang debat lagi.

Trump berkata bahawa beliau telah mengambil bahagian dalam debat pertama menentang calon presiden Demokrat sebelumnya, iaitu Presiden Joe Biden, dan kemudian debat kedua menentang Harris. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!