Ka Siong kagum MCA Sabah kekal walaupun ramai suka 'lompat parti'

Ka Siong (dua dari kiri) dalam sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen MCA Sabah di Kota Kinabalu pada Ahad.
Ka Siong (dua dari kiri) dalam sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen MCA Sabah di Kota Kinabalu pada Ahad.
A
A
A

KOTA KINABALU - MCA Sabah kekal sebagai sebuah parti yang mempunyai struktur yang baik di negeri ini walaupun Sabah terkenal dengan ahli-ahli parti yang 'suka melompat'.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menyatakan kekagumannya terhadap MCA Sabah di mana parti itu ketika ini mempunyai 40,000 keahlian di seluruh 25 Bahagian di negeri ini.

"Tapi saya rasa kagumlah sebab di Sabah ini orang pun cakap ramai yang lompat parti, kita tengok latar belakang kadang kita pun tak tahu orang itu sudah lompat berapa kali.

"Tapi ahli MCA khususnya, walaupun kita tewas, yang keluar seorang dua saja. Tak banyak, jadi saya tahu dua, tiga orang saja tak ramai, dia pun tak bawa ahli daripada MCA keluar," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen MCA Sabah di sini, pada Ahad.

Katanya lagi, MCA Sabah tetap ada kemasukan ahli malah 25 Bahagian mempunyai strukturnya sendiri.

"Ini bermaksud, setiap Parlimen itu kita ada struktur parti seperti UMNO dan kita mempunyai organisasi yang baik," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pandangannya mengenai kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah, beliau tidak meramal situasi tersebut namun sentiasa memantau perkembangan politik negara.

"Maksud saya di Sabah dan Semenanjung ada kelainan sedikit. Tapi apa pun kita kena lihat, sebab kita lihat dalam konteks Sabah, Sarawak dia ada kelainan sedikit.

Artikel Berkaitan:

"Di mana mereka ini di sini ada dua pihak yang berlawan walaupun sama-sama duduk dalam Kerajaan Perpaduan. Jadi kita bercakap mengenai rakan kongsi, maksud saya kawan yang dua-dua pun duduk dalam Kerajaan Perpaduan.

"Saya rasa inilah prosesnya yang berjalan secara semula jadi dan akhirnya kita akan melihat bagaimana BN mencari rakan kongsi ataupun sama ada kita bertanding dulu kemudian kita menggunakan proses demokrasi menentukan, apabila sudah ada kerusi yang banyak baru kita melalui proses itu.

"Terlalu awal untuk kita meramalkan apa-apa, tapi yang penting kita kena buat kerja di bawah nak memenangi kerusi itu penting, bagi saya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!