Nelayan jatuh laut ditemui lemah
LUMUT - Seorang nelayan ditemui terapung selepas disyaki terjatuh laut pada jarak 16.1 batu nautika selatan Pulau Pangkor di perairan Pulau Sembilan pada Sabtu.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Danish Rozaile, 22, ditemui nelayan tempatan dalam keadaan lemah sekitar jam 9.40 pagi sebelum melaporkannya ke Pusat Operasi Maritim Perak.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, laporan diterima daripada bot nelayan terbabit untuk mengambil mangsa.
"Bertindak atas aduan itu, bot PSC 24 dari Pasukan Polis Marin (PPM) dan bot FCB 1030 dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diatur gerak ke lokasi kejadian.
"Pasukan yang tiba sejam kemudian berjaya memindahkan mangsa dari bot nelayan terbabit seterusnya membawa mangsa ke Jeti Penumpang Marina Lumut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, mangsa yang juga warga tempatan dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung dengan menaiki ambulans selain menghubungi ahli keluarganya bagi memaklumkan perkara tersebut.
"Maritim Malaysia mengingatkan kepada komuniti maritim untuk mematuhi peraturan serta menjaga keselamatan diri apabila turun ke laut khususnya ketika cuaca dan keadaan laut yang tidak menentu ini.
"Komuniti maritim juga disarankan untuk memastikan peralatan keselamatan dan bot berada dalam keadaan baik di samping sentiasa memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!