Tapir jatuh parit tersesat 30km dari habitat asal - Perhilitan
KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mendedahkan tapir yang ditemukan terjatuh dalam parit air di Kampung Padang Bukit, Lubuk Setol di Rantau Panjang pada Sabtu dikatakan tersesat sejauh 30 kilometer (km) dari habitat asalnya.
Pengarah Perhilitan negeri, Mohamad Hafid Rohani berkata, haiwan liar terbabit datang dari Hutan Simpan Jedok, di Tanah Merah.
Menurut beliau, kemunculan tapir betina itu diketahui Perhilitan Kelantan selepas menerima panggilan daripada orang ramai pada jam lebih kurang 1 petang.
"Kami mengambil masa selama dua jam untuk membawa ia keluar dari parit air tersebut dengan dibantu oleh APM (Anggota Pertahanan Awam Malaysia) dan penduduk kampung," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujar Mohamad Hafid, haiwan liar terbabit berada dalam keadaan stabil semasa operasi dijalankan dan telah dipindahkan ke habitat yang sesuai pada hari sama.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar serta tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko.
Katanya, sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar perlu
disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!