GISBH: MBK tunggu arahan Persekutuan

Laporan Sinar Harian (kiri), Razihan
Laporan Sinar Harian (kiri), Razihan
A
A
A

KUANTAN - Tiada sebarang makluman rasmi diterima oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) berhubung kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di daerah ini.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Razihan Adzharuddin berkata, perkara itu masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa di peringkat Persekutuan.

"Kita belum terima apa-apa makluman, sebenarnya benda itu (kegiatan GISBH) biarlah (disiasat) di peringkat Persekutuan.

"Kalau ada arahan kita akan ikut, Insya-ALLAH. Buat masa ini, 'silent' (diamkan), dan terima (arahan) daripada pihak polis atau kementerian atau pun kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penganugerahan Malaysia Book Of Record: Longest Coastal Clean Up, di Pusat Rekreasi Air, Balok di sini pada Ahad.

Razihan menjelaskan MBK memantau rapi premis dan mengikuti perkembangan terkini siasatan GISBH.

Tambah beliau, setakat ini, tiada serbuan dilakukan di mana-mana premis GISBH.

"Kita ada kuasa untuk memeriksa, kalau ia (bukan bidang kuasa) kita akan buat pemeriksaan secara bersepadu dengan mana-mana agensi kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beberapa pusat perniagaan GISBH di daerah ini seperti restoran, kedai dobi dan bakeri turut didapati telah ditutup.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan PDRM sedang memantau GISBH yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.

Ia selepas pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah penjagaan dipercayai milik GISBH di Negeri Sembilan dan Selangor.

Dalam perkembangan terbaharu, Razarudin berkata, seramai 200 orang yang disyaki berkait GISBH telah ditahan dalam Op Global sejak 11 September lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 139 suspek telah ditahan sebelum ini telah disambung reman dan 23 orang lagi diberi jamin polis atas sebab-sebab tertentu.

Pada 18 September lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah agar memastikan tiada kes manipulasi agama dan penderaan kanak-kanak berlaku di Pahang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!