MAHA 2024 catat nilai jualan langsung lebih RM41 juta - Mohamad

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang bakal melabuhkan tirai hari ini selepas 12 hari penganjuran mencatatkan nilai jualan langsung lebih RM41 juta setakat pagi tadi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MAHA 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini turut menyaksikan 139 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM7.2 bilion berjaya ditandatangani.

"Selain itu, Agrobank juga merekodkan potensi pembiayaan dan padanan perniagaan berjumlah RM1.38 bilion,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup MAHA 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata, MAHA ke-100 tahun yang bermula sejak 11 September itu juga mencatatkan kehadiran lima juta pengunjung setakat 12 tengah hari tadi sekali gus melebihi sasaran awal seperti ditetapkan iaitu tiga juta.

Keunikan penganjuran MAHA kali ini adalah pengenalan MAHA Go Global yang merupakan inisiatif untuk mengembangkan dan mempromosikan produk pertanian Malaysia ke pasaran global dan sebaliknya.

"Sebanyak lebih daripada 9,500 trade visitors dan 150 pempamer dari seluruh dunia direkodkan dalam penganjuran MAHA kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, di bawah platform MAHA Go Global sebanyak tiga persidangan diadakan iaitu 2nd Annual Food Security Asia Congress, Trade Export Conference atau TEX Talk dan Konvensyen Himpunan dan Deklarasi Usahawan Agro MADANI 2024.

Kesemua persidangan berkenaan menghimpunkan pakar termasuk tokoh terkemuka industri tempatan dan dari luar negara seperti Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, China, New Zealand dan Itali.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MAHA 2024 turut menunjukkan peningkatan jualan anak benih, anak pokok dan haiwan ternakan dan menyifatkan ia indikator positif bahawa minat rakyat terhadap sektor pertanian semakin pesat berkembang di samping memperlihatkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan keterjaminan makanan demi masa depan negara.

"Angka ini bukan sekadar statistik, ia cerminan bahawa MAHA terus menjadi acara utama negara dan memikat perhatian ramai. Ia juga mengukuhkan peranannya sebagai platform unggul untuk memacu inovasi, pendidikan dan peluang perniagaan selain membina sektor pertanian berdaya saing, mampan dan bersedia untuk masa hadapan," katanya.

Mohamad turut menzahirkan penghargaan kepada penglibatan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang buat julung kali menampilkan 170 usahawan desa untuk mempromosikan produk masing-masing daripada pelbagai kategori termasuk makanan dan minuman, kecantikan, kesihatan dan kraftangan.

Mengenai kejayaan MAHA 2024, Mohamad berharap ia memberikan impak positif yang signifikan kepada petani dan pengusaha agromakanan tempatan.

"Dengan pameran inovasi terkini, para petani berpeluang mendapatkan pengetahuan baharu dan teknologi yang dapat meningkatkan hasil pertanian mereka.

"Saya percaya MAHA 2024 juga menjadi platform ideal untuk mempromosikan produk tempatan kepada pengguna manakala perusahaan kecil dan sederhana dapat meningkatkan jaringan perniagaan mereka melalui kolaborasi dengan pelbagai agensi dan syarikat," kata Mohamad.

Beliau yakin MAHA juga telah mengubah persepsi terhadap bidang pertanian dan menyeru anak muda untuk terus meneroka bidang pertanian sebagai kerjaya berpotensi besar bagi mengubah nasib dan kehidupan keluarga. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!