Perang Hizbullah-Israel sudah bermula?

Sebuah jengkaut membersihkan sisa runtuhan di Kiryat Bialik di daerah Haifa yang dibedil Hizbullah. Foto AFP
Sebuah jengkaut membersihkan sisa runtuhan di Kiryat Bialik di daerah Haifa yang dibedil Hizbullah. Foto AFP
A
A
A

BEIRUT - Buat pertama kali, gerakan Hizbullah pada Ahad melancarkan misil menjangkau jarak paling jauh di Israel, sebagai serangan balas terhadap rejim Zionis yang tidak henti-henti mengebom selatan Lubnan.

Pejuang disokong Iran itu mengesahkan roket tersebut menyasarkan bandar Haifa.

“Operasi ini adalah 'respons awal' terhadap gelombang serangan siber ganas selama dua hari bermula Selasa lalu yang meragut hampir 40 nyawa manakala hampir 3,000 cedera.

“Pejuang kami mengebom kompleks industri tentera Rafael di utara Tel Aviv dengan ratusan roket Katyusha, Fadi-1 dan Fadi-2,” ujar gerakan itu dalam satu kenyataan.

Hizbullah juga memaklumkan antara sasaran utama mereka ialah pangkalan tentera udara Ramat David dan lapangan terbang yang terletak kira-kira 45 kilometer dari sempadan.

“Ia adalah tindak balas terhadap serangan berulang kali dibuat musuh ke atas beberapa kawasan di Beirut yang telah meragut banyak nyawa orang awam tidak berdosa,” tegasnya lagi.

Difahamkan, Ramat David adalah sasaran paling jauh pernah dijangkau Hizbullah sejak konflik rentas sempadan tercetus hampir setahun lalu.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang tidak menjangkakan serangan balas mengejut itu memberitahu lebih 100 projektil dilancarkan dari Lubnan.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan bomba berhempas pulas mengawal kebakaran disebabkan serpihan roket yang jatuh di beberapa lokasi,” kata jurucakapnya.

Ketika ini, ratusan ribu penduduk Israel dilaporkan tergesa-gesa mencari perlindungan setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang 'malapetaka' yang bakal melanda Asia Barat jika perang Hizbullah-Israel tercetus.

Penganalisis percaya tindakan musuh menyasarkan alat komunikasi dan membunuh pemimpin unit elit Hizbullah, Ibrahim Aqil adalah satu bentuk provokasi melampau meskipun gerakan itu sudah memberi amaran tegas beberapa kali kepada Israel.

Rejim Zionis semakin galak mencari pasal dengan Hizbullah apabila ia melancarkan kempen serangan udara berskala besar ke atas kedudukan anggota pejuang itu di selatan Beirut.

“Kami berjaya memusnahkan ribuan pelancar roket yang digunakan sebagai persediaan untuk membedil wilayah Israel,” ujar IDF dengan angkuh.

Sebagai respons terhadap serangan itu, Hizbullah membedil tujuh kedudukan tentera musuh di utara Tel Aviv dan Bukit Golan yang diduduki rejim Zionis. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!