Amanah rayu PM salurkan bantuan mangsa banjir di Pulau Pinang

Muhammad Hamdi (kanan) ketika meninjau keadaan banjir di Permatang Pasir baru-baru ini.
Muhammad Hamdi (kanan) ketika meninjau keadaan banjir di Permatang Pasir baru-baru ini.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Persekutuan wajar menyalurkan bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir di Pulau Pinang sama seperti di Kedah.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang, Muhammad Hamdi Md Nor berkata, banjir yang berlaku di Pulau Pinang kali ini telah mengakibatkan hampir 650 orang terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, walaupun kesemua mangsa banjir di Pulau Pinang telah dibenarkan pulang dan semua PPS ditutup, namun kerugian harta benda akibat bencana banjir tersebut bukanlah sesuatu yang sedikit.

"Kerosakan harta benda yang dialami oleh mangsa banjir memerlukan perhatian oleh pihak kerajaan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.

"Oleh kerana itu, Amanah Pulau Pinang merayu kepada Perdana Menteri agar segera meluluskan bantuan berjumlah RM1,000 kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini,"katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya yakin keprihatinan Perdana Menteri dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang selaras dengan konsep Malaysia Madani.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM13 juta untuk Kedah berikutan banjir buruk di negeri itu.

Beliau memaklumkan, sebanyak RM10 juta adalah peruntukan untuk sumbangan dan pembersihan di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Anwar memaklumkan, sebanyak RM3 juta lagi adalah peruntukan khas pembaikan infrastruktur pasca banjir di daerah Kota Setar.

"(Untuk daerah) Kota Setar sahaja, kita peruntukan RM3 juta. Untuk seluruh negeri Kedah, kita agihkan RM10 juta untuk pastikan selepas banjir (memenuhi) apa-apa kerosakan dan ganti rugi yang munasabah.

“Kita minta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri selaraskan hal ini supaya disegerakan,"katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengumumkan mangsa banjir yang berdaftar akan menerima bantuan kewangan dari kerajaan pusat melibatkan sumbangan RM1,000 daripada Nadma dan RM1,000 pula daripada ICU.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!