30 maut, 17 cedera dalam letupan lombong arang batu di timur Iran

No Image Caption
A
A
A

TEHERAN - Sekurang-kurangnya 30 maut dan 17 lagi cedera dalam letupan di sebuah lombong arang batu di wilayah timur Iran Khorasan, lapor Xinhua memetik agensi berita Fars pada Ahad.

Letupan berlaku di lombong milik Syarikat Madanjoo di Tabas County pada 9 malam waktu tempatan (1730 GMT) Sabtu akibat peningkatan jumlah gas metana di satu daripada terowongnya, Fars memetik kenyataan pengarah pengurusan krisis wilayah, Mohammad-Ali Akhoundi menerusi ucapannya kepada pemberita pada pagi Ahad.

Beliau berkata, seramai 69 pelombong sedang bekerja di lokasi terbabit ketika kejadian.

Menteri Dalam Negeri Iran Eskandar Momeni menerusi satu panggilan telefon dengan Gabenor Khorasan Javad Ghenaat, mengarahkan beliau untuk menggerakkan semua kemudahan dan sumber wilayah bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan bantuan, lapor agensi berita rasmi IRNA.

Ketua Majlis Penerangan Iran, Elias Hazrati berkata, Presiden Masoud Pezeshkian mengeluarkan arahan khas untuk mengendalikan insiden itu, mengarahkan menteri berkaitan mengambil langkah-langkah yang perlu. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!