Trump tolak debat pusingan kedua dengan Harris
WASHINGTON - Donald Trump menolak mentah-mentah debat pusingan kedua bersama pesaingnya daripada Parti Demokrat, Kamala Harris sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 5 November depan.
Calon Parti Republikan berusia 78 tahun itu memberi alasan kononnya 'sudah terlambat' memandangkan proses pengundian awal sudah bermula di beberapa negeri.
“Sesi debat itu sebenarnya mempunyai 'nilai hiburan yang baik'. Tetapi, masanya sudah tidak sesuai. Pendirian CNN pastinya sudah berubah tidak sama seperti ketika debat bersama Presiden Joe Biden pada Jun lalu,” kata Trump.
Penolakan itu dibuat selepas kempen Harris mengesahkan mereka sudah menerima undangan daripada stesen penyiar CNN untuk menyertai sesi debat pada 23 Oktober depan.
“Rakyat Amerika berhak mendapat peluang lagi untuk melihat Harris dan Trump beraksi sekali lagi sebelum mereka membuat keputusan siapa yang wajar dipilih ke Rumah Putih,” kata pengerusi kempennya, Jen O'Malley Dillon.
Harris, 59, yang tampil cemerlang pada sesi pertama juga berharap Trump akan menyertainya.
Keputusan siapa pengganti Biden sebagai Presiden ke-47 AS bakal ditentukan tujuh negeri termasuk Carolina Utara dan ia dijangka berlangsung sengit. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!