Premis GISBH di Johor diserbu, rampas bahan bacaan, selamat kanak-kanak

Pihak berkuasa menyerbu premis GISBH di beberapa daerah di Johor. (Gambar kecil: Mohd Fared)
Pihak berkuasa menyerbu premis GISBH di beberapa daerah di Johor. (Gambar kecil: Mohd Fared)
A
A
A

KLUANG - Kerajaan negeri mengesahkan penemuan beberapa bahan bacaan termasuk buku yang dipercayai ada kaitan dengan Aurad Muhammadiyah dalam serbuan di premis GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) hasil serbuan yang dilakukan di beberapa daerah.

Exco Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, daerah yang terlibat adalah Kluang, Mersing, Segamat, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

"Serbuan dilakukan menerusi Ops Bersepadu bersama polis dan turut disertai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), bahagian penguatkuasaan di lima daerah terbabit selama dua hari sehingga Jumaat.

"Dalam serbuan itu, kanak-kanak di premis itu turut diselamatkan," katanya selepas Majlis Perasmian Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Johor yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini pada Ahad.

Menurut Mohd Fared, penemuan bahan bacaan terlarang ataupun bacaan baharu dipercayai mempunyai kaitan dengan dengan Aurad Muhammadiyah yang difatwakan sesat.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terperinci masih dijalankan dan JAINJ akan mengambil tindakan lanjut dari segi pendakwaan sekiranya wujud elemen itu mengikut Enakmen Syariah Negeri Johor.

"Kita perlu mengambil sedikit masa kerana sebahagian buku yang dirampas itu adalah bahan baru, jadi kita tidak tahu sama ada ia berkaitan dengan Aurad Muhammadiyah yang difatwakan haram.

"Bagi maksud kebajikan anak-anak yang diselamatkan dalam operasi itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengambil tanggungjawab," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, JAINJ sudah pun mengunjungi semua lokasi utama yang dikenal pasti untuk membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun, dalam pemeriksaan itu, terdapat premis sudah dikosongkan serta ada yang masih berpenghuni.

"Ada premis yang masih lagi menempatkan golongan warga emas, dewasa dan kanak-kanak.

"Sebagai contoh premis di Mutiara Rini, Johor Bahru yang juga ada penemuan bahan namun penghuni sudah tiada.

"Maka, kita akan bekerjasama dengan polis untuk menjejaki mereka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!