MAIS pastikan sekolah babit GISBH ditutup, batal pendaftaran

Abdul Aziz (Kenyataan MAIS pada Ahad)
Abdul Aziz (Kenyataan MAIS pada Ahad)
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memastikan sekolah Islam yang terbabit dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya di Selangor ditutup serta dibatalkan pendaftarannya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan berkata, itu adalah antara tindakan bersepadu dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap GISBH dan rangkaiannya.

Menurut beliau, MAIS turut memastikan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor membuat keputusan segera bagi hasil kajian dan penelitian terhadap GISBH.

"Tindakan serius sudah diambil oleh JAIS berhubung perkara ini dan laporan berkaitan akan dibentangkan kepada MAIS dalam Mesyuarat MAIS yang akan diadakan pada 24 September ini.

"Begitu juga dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor berhubung keputusan fatwa yang akan bersidang pada 30 September ini bagi memutuskan persoalan berkaitan GISBH," katanya dalam kenyataan itu pada Ahad.

Ujar Abdul Aziz, MAIS dan semua agensi hal ehwal Islam di Selangor menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Jelasnya lagi, semua agensi hal ehwal Islam di negeri ini sama sekali tidak berkompromi dengan GISBH atau rangkaiannya yang terbabit dengan kesalahan berkaitan dakwaan pembabitan sekolah Islam di Selangor dalam kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam sebenar.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!