Kemas sasar 140,000 huffaz cilik menjelang 2026

Ahmad Zahid bersama-sama pelajar tahfiz dalam Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor Tahun 2024 di sebuah hotel di Kluang, pada Ahad.
Ahmad Zahid bersama-sama pelajar tahfiz dalam Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor Tahun 2024 di sebuah hotel di Kluang, pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyasar untuk melahirkan seramai 140,000 huffaz cilik menerusi Program Pra Tahfiz Tabika Kemas menjelang 2026.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 4,145 kelas Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Pra Tahfiz Kemas melibatkan 62,175 kanak-kanak telah memulakan pembelajaran itu bermula Ogos lalu.

Beliau berkata, menerusi usaha tersebut kira-kira 60 peratus kanak-kanak Tabika Kemas disasarkan dapat menghafaz 20 surah Juz Amma iaitu Surah ad-Duha menjelang akhir sesi persekolahan 2024 nanti.

"Tabika Pra Tahfiz Kemas merupakan satu program untuk memperkasakan lagi Pendidikan al-Quran di Tabika.

"Program ini memberi nilai tambah kepada modul sedia ada (modul Penghayatan Islam) yang merangkumi aspek pendidikan dalam melahirkan huffaz cilik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor Tahun 2024 di sebuah hotel di sini, pada Ahad.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan serta Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, program berkenaan dapat memperkasakan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ia juga akan memberi fokus kepada 7m iaitu mengaji, menghafaz, membaca, menulis, mengira, manaakul dan manusiawi.

"Pengisian modul ini merujuk sepenuhnya Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang dengan teknik hafazan serta kaedah pembelajaran secara santai," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!