Fasa pertama Ibu Kota Nusantara capai 93 peratus

IKN bakal berkonsepkan bandar hijau dan kota cerdas. Foto Agensi
IKN bakal berkonsepkan bandar hijau dan kota cerdas. Foto Agensi
A
A
A

PENAJAM PASER UTARA - Perkembangan fasa pertama projek pembinaan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur, Indonesia telah mencapai tahap 93 peratus.

Pengumuman itu dibuat Ketua Pasukan Petugas Pembangunan Infrastruktur IKN, Danis Hidayat Sumadilaga pada Ahad.

Menurutnya, fasa satu itu melibatkan pembangunan bangunan kerajaan, rumah para menteri dan pangsapuri untuk penjawat awam (ASN).

“Setakat ini, sebanyak 20 kediaman menteri telah siap manakala 14 unit lain masih dalam pembinaan. Menjelang bulan depan, sebanyak 28 buah rumah dijangka siap sepenuhnya.

“Beberapa bangunan di pusat kerajaan (KIPP) dijadualkan akan dirasmikan pada Oktober,” ujarnya lagi.

Difahamkan, perasmian Istana Garuda dan Istana Negara yang menjadi ikon IKN juga bakal diadakan sebelum penggal pemerintahan Presiden Joko Widodo atau Jokowi berakhir pada 20 Oktober depan.

Pada 17 Ogos lalu, Istana Negara telah dijadikan sebagai lokasi untuk meraikan ulang tahun ke-79 Hari Kemerdekaan dan mengadakan mesyuarat kerajaan.

Sementara itu, Menteri Perancangan Pembangunan Negara (PPN), Suharso Monoarfa memberitahu fasa kedua pembangunan IKN akan menyokong pelaksanaan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Ia meliputi pembinaan kedai, pusat beli-belah, hospital, sekolah dan kemudahan awam lain. Ia disusuli dengan pembinaan tempat ibadat seperti masjid, gereja dan lain-lain,” jelasnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!