Insentif RM500,000 kepada Bonnie Bunyau

Bonnie Bunyau (kanan) membawa obor untuk dinyalakan pada Majlis Perasmian Temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya malam ini. Foto Bernama
Bonnie Bunyau (kanan) membawa obor untuk dinyalakan pada Majlis Perasmian Temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya malam ini. Foto Bernama
A
A
A

KERAJAAN Sarawak mengumumkan insentif sebanyak RM500,000 kepada Bonnie Bunyau Gustin atas kejayaannya mempertahankan pingat emas dengan memecahkan rekod dunia pada temasya Paralimpik Paris 2024.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, atlet powerlifting itu telah berjaya mengharumkan nama Malaysia dan juga Sarawak dalam arena sukan antarabangsa.

"Bonnie adalah model yang harus kita ambil sebagai contoh, saya ucapkan tahniah kepada Bonnie kerana telah dapat memecahkan rekod dunia yang mengharumkan negara Malaysia dan juga negeri Sarawak.

"Kita harap bahawa ini akan menjadi dorongan kepada atlet-atlet muda Para SUKMA untuk berlatih dengan lebih giat supaya mendapat kejayaan di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2024 2024 di Stadium Perpaduan di sini malam ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Abang Johari berkata, Sarawak akan terus melatih atlet para yang mempunyai potensi mewakili negara di peringkat antarabangsa bagi bersama-sama merealisasikan pembangunan sukan tanah air.

"Ingin saya nyatakan di sini kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa Sarawak akan bersama-sama turut serta untuk membangunkan sukan di seluruh Malaysia dengan kemampuan Sarawak yang ada...sebab itu kita telah bersetuju untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.

"Kepada para atlet, saya yakin mereka akan berusaha bukan sahaja mendapat kemenangan tetapi melatih diri dari segi keyakinan diri dalam menghadapi cabaran hidup. Saya yakin atlet Para Sukma juga boleh memberikan kejayaan yang besar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Paralimpik Paris bulan lepas, Bonnie mempertahankan emas kategori 72 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan seberat 232kg, sekali gus meleburkan rekod dunia 231kg miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.

Jumlah angkatannya itu juga menjadi rekod baharu temasya, mengatasi rekod 228kg yang juga milik Bonnie pada edisi Tokyo 2020.

Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan imbuhan RM1 juta bagi kejayaan meraih emas di Paralimpik menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), selain tambahan sekiranya memecahkan rekod temasya atau dunia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!