Krisis Hizbullah-Israel: 'Trojan Horse' moden

No Image Caption
A
A
A

BEIRUT - Pada Selasa lalu, kira-kira jam 3.30 petang (waktu tempatan), penduduk di Lubnan menjalani aktiviti harian mereka seperti biasa.

Tetapi, keadaan bertukar huru-hara setelah ratusan alat kelui di seluruh negara meletup secara serentak sejurus mesej diterima.

Peranti 'ketinggalan zaman' tersebut digunakan pejuang Hizbullah untuk berkomunikasi antara satu sama lain tanpa dijejaki Israel, namun serangan siber ganas itu benar-benar menggemparkan Beirut.

Gerakan disokong Iran itu turut menuding jari menyalahkan rejim Tel Aviv mendalangi gelombang serangan tersebut, namun hingga kini Israel tidak mengaku atau menafikan dakwaan berkenaan yang turut dilaporkan secara meluas rangkaian media antarabangsa.

Beberapa pemerhati bagaimanapun percaya kejadian pengeboman itu jelas mempunyai ciri operasi sulit sama yang biasa dilakukan Israel.

Orang ramai di seluruh Lubnan bimbang untuk menggunakan komputer riba dan telefon pintar jika ia berisiko meletup secara tiba-tiba.
Orang ramai di seluruh Lubnan bimbang untuk menggunakan komputer riba dan telefon pintar jika ia berisiko meletup secara tiba-tiba.

Ia berjaya menyusup masuk ke rantaian bekalan pengeluaran peranti komunikasi itu dan memasukkan bahan letupan menghasilkan impak yang kuat.

Bagaimana rancangan itu diatur dengan teliti telah mencetuskan tanda tanya kepada banyak pihak.

Artikel Berkaitan:

Beberapa syarikat yang disebut sebagai pengeluar alat kelui itu pula menafikan penglibatan mereka dan ia sedikit sebanyak mengesahkan pelan rahsia rejim Tel Aviv yang sudah dirancang selama bertahun-tahun termasuk menubuhkan syarikat olok-olok untuk membekalkan peranti tersebut kepada Hizbullah.

Sehari selepas kejadian pengeboman itu, satu lagi alat komunikasi iaitu walkie talkie digunakan pejuang Hizbullah meletup.

Serpihan peranti yang meletup dalam kejadian pada awal minggu lalu.
Serpihan peranti yang meletup dalam kejadian pada awal minggu lalu.

Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah yang pada mulanya menyarankan penggunaan gajet kurang canggih dalam kalangan anggota mereka dalam satu kenyataan berikrar untuk memberi hukuman setimpal ke atas Israel yang semakin galak melakukan provokasi melampau terhadap gerakan tersebut meskipun sudah diberi amaran tegas sebelum ini.

Persoalannya adalah mengapa Israel sekali lagi memalu gendang perang sedangkan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) berusaha menjadi perantara proses damai bagi mengelakkan perang lebih meluas tercetus di Asia Barat.

Undang-undang larang guna 'jerangkap samar'

Rangkaian media melaporkan letupan serentak itu menggegar kubu kuat Hizbullah di seluruh negara termasuk di bahagian selatan dan Lembah Bekaa di kawasan timur serta di Syria.

Dua serangan berskala besar tersebut telah meragut hampir 40 nyawa manakala ribuan yang lain cedera.

“Ia memberi 'tamparan hebat' kepada tahap taktikal dan menjejaskan bahagian operasi serta kognitif Hizbullah yang selama ini digeruni musuh mereka.

“Operasi ini seperti menghantar isyarat jelas kepada Hizbullah, Iran dan sekutu mereka yang lain,” kata bekas pegawai risikan, Yoram Schweitzer yang kini berkhidmat di Institut untuk Kajian Keselamatan Negara di Tel Aviv University.

Sementara itu, Peter Harling yang merupakan pengasas badan pemikir, Synaps Lab percaya sasaran utama penyerang adalah pejuang Hizbullah.

“Tetapi, orang awam yang tiada kena-mengena dalam sengketa tersebut turut menjadi mangsa kejadian itu. Ia satu bentuk pelanggaran yang sukar dijelaskan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk memberi amaran tegas sebarang bentuk serangan secara rahsia yang menyasarkan orang awam atau anggota kumpulan bersenjata sememangnya melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Pengarah Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia di Asia Barat dan Afrika Utara, Lama Fakih juga senada dengan Turk yang mengesahkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa melarang penggunaan 'jerangkap samar' yang mengancam nyawa orang awam seperti yang berlaku di Beirut.

Profesional pengintipan menzahirkan rasa terkejut mereka tentang bagaimana operasi itu diselaraskan.

“Ia bukan satu pencapaian teknologi. Ia adalah hasil daripada kecerdasan manusia dan logistik berat,” ujar seorang pegawai yang berkhidmat untuk perkhidmatan risikan Eropah dan enggan identitinya didedahkan.

Peranti tersebut yang menggunakan nama firma Gold Apollo di Taiwan dipercayai telah 'dipintas' risikan Israel atau Mossad sebelum bekalan itu tiba di Lubnan.

Syarikat di Taipei itu pula mendakwa ia dihasilkan BAC berpusat di Hungary, namun dinafikan pihak berkuasa negara tersebut.

New York Times memetik tiga sumber risikan mendedahkan BAC adalah sebahagian daripada rancangan Israel bersama dua 'syarikat olok-olok' untuk menyembunyikan identiti sebenar pihak merujuk kepada Mossad yang mengeluarkan peranti dipasang alat letupan itu.

“Alat kelui itu seperti 'Trojan Horse' era moden sama seperti digunakan askar Yunani ketika menceroboh bandar Troy ketika Perang Trojan,” jelas laporan tersebut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!