Bukan hanya bayar yuran
SHAH ALAM - Keperluan anak miskin dan daif yang ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar memfokuskan kepada yuran pendaftaran semata-mata.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, keperluan dari segi kelengkapan dan peralatan belajar, kemudahan teknologi maklumat (IT), sokongan mental seperti meningkatkan moral juga diperlukan agar golongan itu tidak berasa kekurangan setelah ke menara gading.
Ujarnya, kerajaan perlu mempunyai data pelajar dan pelan tindakan bagi mengelakkan keciciran, selain pemantauan terhadap pengagihan sekiranya terdapat bantuan lain diberikan.
“Keciciran dalam kalangan anak miskin dan daif berlaku apabila tiada jaminan dari segi kewangan sama ada pinjaman atau biasiswa yang meyakinkan sehingga mereka membuat keputusan menolak tawaran sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Ada pula pembiayaan atau pinjaman barangkali secukupnya untuk bayar yuran sahaja tapi bagaimana pula dengan kos makan minum, perjalanan dan keperluan melibatkan diri dalam kokurikulum, ini perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau mengulas mengenai jaminan Kementerian Pendidikan Tinggi bahawa tiada pelajar daripada golongan B40 akan tercicir daripada akses pendidikan di negara ini hanya kerana masalah yuran pendaftaran.
Ujarnya, setelah anak miskin dan daif mengikuti pengajian di IPTA, suntikan motivasi secara berterusan dapat diberikan supaya mereka tidak terhenti di tengah jalan akibat kesusahan yang dihadapi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!