Gesaan Zambry satu kelegaan

Laporan Sinar Harian, baru-baru ini.
Laporan Sinar Harian, baru-baru ini.
A
A
A

PERMUDAHKAN urusan orang lain, nescaya urusan kita dipermudahkan. Itu ungkapan yang sering kita dengar terutama membabitkan amal kebaikan.

Begitulah halnya dengan gesaan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang meminta universiti mempermudah kemasukan pelajar kurang berkemampuan, termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran.

Ia nampak mudah - satu gesaan daripada seseorang yang boleh memberi kata putus, atau dengan kata lain ‘cakap laku’.

Kesannya amat besar terutama bagi golongan kurang mampu, mempunyai komitmen lain atau hanya cukup makan saja yang berdepan kekangan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Teringat satu ketika, yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah yang ada ketikanya membebankan ibu bapa yang terpaksa menebalkan muka setiap kali anak-anak mengadu ‘cikgu minta duit yuran’.

Hakikatnya, kesusahan, kepayahan hidup adalah satu realiti yang dihadapi sebahagian besar masyarakat kita hari ini.

Paling perit ialah golongan miskin bandar yang berdepan situasi short blanket, serba tidak cukup, apatah lagi ketika suasana ekonomi yang tidak menentu.

Justeru, ilham gesaan ini sangat tepat pada masanya dan datang daripada seorang pemimpin yang mempunyai rasa empati - yang sebenar.

Artikel Berkaitan:

Keprihatinan menteri ini satu langkah tepat dan pastinya memberi semangat kepada mereka yang terlibat untuk meneruskan pengajian.

Diharapkan mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin peluang ini bagi mengubah masa depan.

Bagaimanapun harus diingat, keperluan bagi pelajar universiti bukan sekadar yuran kemasukan, banyak perkara lagi perlu difikirkan. Bila masuk universiti semestinya banyak perbelanjaan diperlukan dari segi kelengkapan belajar.

Pelajar berkualiti dalam kalangan miskin dan daif ini sangat memerlukan sokongan daripada semua pihak terutamanya kerajaan supaya motivasi mereka tidak terhenti di tengah jalan akibat kesusahan yang dihadapi.

Turun padang, kenal pasti pelajar miskin dan daif yang terpaksa tolak tawaran masuk universiti kerana masalah kewangan. Beri bantuan sewajarnya tanpa melalui prosedur rumit lagi menyusahkan.

Kita perlu lebih ramai pemimpin yang cakna begini. Mereka kena bantu kerana mereka juga rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!