Stones pacu kebangkitan City ikat Arsenal di Etihad
GOL penyamaan minit ke-98 John Stones menyelamatkan Manchester City daripada kekalahan apabila bangkit mengikat Arsenal, 2-2 yang beraksi 10 pemain dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad pada Ahad.
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola sebelum perlawanan melakukan lima pertukaran terhadap kesebelasan utama yang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Brentford 2-1, pada 14 September lalu.
Penyerang sensasi The Citizens, Erling Haaland terlebih dulu meletakkan tuan rumah di depan seawal minit kesembilan untuk gol ke-100 bersama Manchester City dalam semua kejuaraan juga jaringan ke-10 liga musim ini.
Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama apabila pemain pertahanan Arsenal, Riccardo Calafiori dari Itali, kemudian menyamakan kedudukan selepas menyudahkan sentuhan Gabriel Martinelli minit ke-22.
Gabriel Magalhaes tonggak pertahanan dari Brazil selepas itu hasil tandukan, menterjemahkan sentuhan Bukayo Saka bagi meletakkan Arsenal di depan minit ke-46 separuh masa pertama.
Malang menimpa Arsenal selepas itu apabila terpaksa bermain 10 pemain setelah bintang Belgium, Leandro Trossard menerima arahan keluar padang minit ke-53 masa kecederaan selepas dilayangkan kad kuning kedua.
Skuad kendalian Guardiola kemudian tenang memanfaatkan kekurangan seorang pemain Arsenal bimbingan Mikel Arteta separuh masa kedua dengan berkampung dalam kawasan gol pasukan pelawat bagi memburu gol penyamaan.
Manchester City yang seakan kelihatan ditakdirkan untuk tewas perlawanan liga di tempat sendiri buat kali pertama dalam hampir dua tahun, manakala Arsenal pula kelihatan bersedia untuk kemenangan pertama di Etihad sejak 2015, akhirnya diselamatkan menerusi sentuhan Stones untuk mengikat kedudukan 2-2 di Etihad.
“Saya fikir selama ini kami telah belajar bergerak sebagai satu pasukan untuk kekal bersama, tidak kira siapa yang bermain, dan sentiasa bersedia.
"Saya tahu pengendali menekankan perkara itu. Saya pasti anda pernah mendengarnya sebelum ini. Saya cuba untuk berada dalam kawasan sepatutnya dan bernasib baik. Dan anda tahu, saya sangat gembira apabila dapat menjaringkan gol ini,” kata Stones yang dimasukkan pada minit ke-78.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!