UNGA 79: Komitmen Malaysia terhadap SOTF, seruan reformasi tadbir urus global

Mohamad berucap pada Sidang Kemuncak Masa Depan di New York - Foto: Awani
Mohamad berucap pada Sidang Kemuncak Masa Depan di New York - Foto: Awani
A
A
A

NEW YORK - Malaysia menyatakan sokongan terhadap penganjuran Sidang Kemuncak Masa Depan atau Summit of the Future (SOTF) dan penghasilan memorandum Pakatan untuk Masa Depan (Pact for the Future).

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ini adalah peluang untuk mereka bentuk semula tadbir urus global yang berkesan untuk masa kini dan masa depan.

Ini kerana, katanya, konflik dan cabaran yang terus menimpa dunia saban tahun, semakin mencabar dan berisiko membawa maut. "Daripada ketidakupayaan menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, kepada kesan perubahan iklim, kepada jurang pembangunan yang semakin melebar antara negara Global Selatan dan negara Global Utara.

"Sudah tiba masanya untuk merangsang tadbir urus global secara holistik, berasaskan prinsip kemanusiaan," katanya ketika berucap pada SOTF di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini pada Ahad.

Selain itu, Mohamad berkata, usaha dunia juga akan menjadi sia-sia sekiranya tiga cabaran utama yang berterusan melibatkan keselamatan makanan, akses kepada pendidikan dan perubahan iklim - antara teras utama dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 2030) - tidak ditangani.

"Menjelang tahun 2050, planet kita akan menjadi rumah kepada 10 bilion orang. Bagaimana dunia akan mampu menyediakan makanan kepada seluruh penduduknya ketika itu sekiranya kita tidak dapat melakukannya sekarang?

"Pendidikan adalah kunci untuk menangani ketidaksamaan. Pemerkasaan melalui pengetahuan akan membebaskan golongan yang kurang bernasib baik dan mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

"Namun, di Global Selatan, berjuta-juta kanak-kanak dinafikan hak untuk pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mesti memecahkan halangan dan memastikan akses, kualiti dan kemampuan. Komuniti global mesti mendemokrasikan pendidikan," tambahnya lagi.

Menyentuh mengenai perubahan iklim, Mohamad berkata Malaysia percaya bahawa dunia harus berusaha ke arah Pakatan Pembangunan Hijau atau Green Development Pack bagi menangani jurang saintifik dan teknologi antara negara Global Utara dan Selatan.

Tambahnya, pembiayaan iklim dan projek bantuan pembangunan adalah penting untuk menutup jurang ini.

"Negara Global Utara tidak seharusnya meninggalkan negara Global Selatan.

"Krisis iklim bukan ancaman yang asing, ia telah berlaku dan ia sesuatu yang nyata serta memberi kesan kepada kita dengan berlakunya banjir dan kebakaran hutan.

"Antara lain, ia juga mengakibatkan kebuluran dan kita tidak mempunyai pilihan selain daripada bertindak sekarang.

"Penyelesaiannya juga bergantung kepada pembiayaan iklim yang mencukupi serta pemindahan teknologi dan inovasi," ujarnya.

Terdahulu, PBB mengumumkan penganjuran SOTF buat julung kalinya sempena penganjuran Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-79 tahun ini.

Perhimpunan ini dianjurkan bagi membina dapatan daripada penganjuran UNGA ke-78 pada tahun lalu dan Sidang Kemuncak SDG 2023.

Ia antara lain bagi meningkatkan kerjasama antarabangsa dan membantu mencapai dan merealisasikan Agenda 2030 bagi pembangunan mampan. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!