Ringgit mulakan minggu ini dalam julat stabil

Mata wang tempatan diniagakan pada 4.2005/2180 berbanding dolar AS daripada 4.2005/2070 pada Jumaat lepas. - Gambar hiasan
Mata wang tempatan diniagakan pada 4.2005/2180 berbanding dolar AS daripada 4.2005/2070 pada Jumaat lepas. - Gambar hiasan
A
A
A
[DIKEMAS KINI] RINGGIT dibuka hampir tidak berubah hari ini dan dijangka mengekalkan trend meningkat berikutan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) minggu lepas yang memberi petunjuk pertumbuhan ekonomi AS lembap tanpa menghadapi risiko kemelesetan.

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.2005/2180 berbanding dolar AS daripada 4.2005/2070 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Fed mahu memastikan pekerjaan maksimum, menunjukkan keutamaan kepada peningkatan.

"Sehubungan itu, peniaga dan pelabur optimis terhadap prospek ekonomi. Dalam satu aspek, terdapat keadaan risiko meningkat yang dijangka memberi prospek baik kepada ringgit,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata mata wang tempatan ditutup pada paras paling kukuh dalam tempoh 2.5 tahun minggu lepas.

Dalam laporan aliran dana mingguannya, katanya ringgit Malaysia mengukuh sebanyak 2.3 peratus minggu ke minggu berbanding dolar AS yang rendah, ditutup pada RM4.204, paras paling kukuh kali terakhir dilihat pada Mac 2022.

"Sebagai mata wang yang paling banyak mendapat manfaat daripada pelonggaran dasar Fed, peningkatan permintaan turut menyokong ringgit untuk meningkat berbanding mata wang rakan dagang utama Malaysia.

"Sehubungan itu, Indeks Ringgit Berwajaran Perdagangan (TWRI) MIDF kami mengukuh 2.1 peratus minggu ke minggu kepada 93.12, mencatatkan peningkatan tertinggi berbanding yen Jepun, won Korea dan dolar Taiwan," katanya.

Mata wang tempatan mencatatkan prestasi yang baik selepas penurunan kadar faedah sebanyak 50 mata asas oleh Fed pada 18 Sept lepas.
Artikel Berkaitan:


Pada masa yang sama, harga komoditi yang lebih tinggi turut menyokong ringgit, dengan minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras terus meningkat sebanyak 4.0 peratus minggu ke minggu kepada AS$74.49 setong.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9160/9284 daripada 2.9182/9229 pada Jumaat lepas dan hampir tidak berubah berbanding euro kepada 4.6873/7069 daripada 4.6878/6950 minggu lepas, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.5921/6154 daripada 5.5841/5928 sebelum ini.

Mata wang tempatan mencatatkan prestasi yang sama berbanding mata wang ASEAN, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2539/2677 daripada 3.2507/2559 pada Jumaat lepas dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.7508/8137 daripada 12.7026/7288 sebelum ini.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding peso Filipina dan rupiah Indonesia, diniagakan pada 7.55/7.58 berbanding peso daripada 7.55/7.56 pada Jumaat lepas dan pada 277.2/278.5 berbanding rupiah daripada 277.2/277.8 sebelum ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!