Jangan campur aduk khutbah dengan politik - ABIM Melaka

Kenyataan media yang dikeluarkan JAIM berkaitan inisiden itu.
Kenyataan media yang dikeluarkan JAIM berkaitan inisiden itu.
A
A
A

MELAKA - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Melaka menyeru agar insiden yang didakwa memaparkan gambar pemimpin parti politik ketika khutbah solat Jumaat pada Jumaat lalu di masjid negeri ini tidak berlaku lagi.

Yang Dipertuanya, Dr Mohd Nurishaq Mohd Fauzi berkata, meskipun insiden itu telah didakwa ralat infografik oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), namun berharap pihak berkenaan akan lebih berhati-hati dan tidak mencampuradukkan khutbah dengan hal politik kepartian.

Menurutnya, insiden sebegini berisiko menimbulkan kekeliruan dan prejudis masyarakat terhadap profesionalisme serta kewibawaan institusi agama yang seharusnya menjadi pusat penyatupaduan ummah.

"ABIM Negeri Melaka berharap agar insiden ini tidak berulang lagi di masa hadapan,

"Agar masjid dan surau kekal sebagai institusi agama yang diyakini umat Islam,selaras dengan Nilai Pemacu Madani," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Pada Jumaat lalu, khutbah di seluruh masjid dan surau Jumaat di negeri ini yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid dan JAIM bertajuk "Negaraku, Tanah Air Ku" bersempena sambutan Hari Malaysia 16 September didakwa telah memaparkan gambar seorang pemimpin parti politik pembangkang.

Bagaimanapun menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh JAIM memaklumkan pihaknya kesal dengan kejadian yang berlaku dan memohon maaf di atas kekhilafan tersebut.

Menurut JAIM, telah menarik balik infografik itu serta-merta dan memohon jasa baik semua pengerusi jawatankuasa masjid dan surau Jumaat untuk menurunkan, memadam, dan tidak menyebarkannya atau sebarang dokumen berkaitan insiden itu untuk apa-apa tujuan.

Artikel Berkaitan:

"Serahkan kepada jabatan ini untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

"JAIM memohon maaf di atas kekhilafan tersebut serta akan memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!