NAFAS capai sasaran jualan sepanjang MAHA 2024
Pengurus Besarnya, Muhammad Faris Arriffi n berkata, pencapaian itu diraih hasil jualan produk-produk keluaran NAFAS dan jenama Peladang.
“Kita telah meraih hasil jualan mencecah RM1 juta meliputi produk seperti baja, input pertanian, ayam bulat, ayam keratan, produk perapan sejuk beku, jentera serta produk pertanian lain.
“Selain itu, penyumbang terbesar pada pameran kali ini adalah kejayaan NAFAS menjual jentera pertanian dan produk baja yang telah kehabisan stok,” katanya ketika ditemui di NAFAS Cube sempena hari terakhir MAHA 2024 pada Ahad.
Muhammad Faris memaklumkan, sambutan orang ramai terhadap produk NAFAS sepanjang pameran dwi tahunan itu amat memberangsangkan.
Jualan lebih baik
Menurutnya, penyertaan NAFAS pada kali ini melibatkan lima reruai di laman berbeza membuahkan hasil apabilla pihaknya berjaya melepasi jumlah jualan edisi MAHA sebelum ini.
“Pada tahun ini, NAFAS membuka lima reruai di lima laman berbeza dan taktikal edisi MAHA ke-100 membawa tuah kepada kami.
“Alhamdulillah tahun ini sudah melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu RM1 juta,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Faris berkata, NAFAS turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menerusi anak syarikatnya, NAFAS Agri Services Sdn Bhd (NASSB).
Perjanjian itu jelasnya, membabitkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk input pertanian nanas berjumlah RM9 juta untuk tempoh dua tahun.
Selain itu, NAFAS menerusi NAFAS Bajakimia Sdn Bhd telah melancarkan Peladang 25 iaitu produk baja cecair pelepasan terkawal yang telah kehabisan stok.
“Dari segi padanan perniagaan, kami telah menerima perniagaan dari luar negara seperti Jepun, Kemboja, Myanmar dan beberapa negara lain untuk memulakan kerjasama menerusi produk utama seperti baja.
“Justeru saya berharap orang ramai dapat mendukung agenda keterjaminan makanan negara sekali gus meneruskan program-program seperti ini. Ia akan membantu banyak pihak mendapat manfaat daripada promosi industri agro makanan,” ujarnya.
Muhammad Faris berkata, penglibatan NAFAS sepanjang MAHA 2024 membuktikan komitmen dalam memajukan sektor pertanian negara.
“Ia sejajar dengan objektif keterjaminan makanan yang berterusan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!