Padah pelihara, simpan burung dilindungi tanpa lesen
KUANTAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya membongkar aktiviti memelihara dan menyimpan spesies burung dilindungi tanpa lesen yang sah dalam dua operasi berasingan di Raub, Jumaat lalu.
Perhilitan melalui kenyataan di Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia menjelaskan, aktiviti menyimpan haiwan spesies dilindungi ditanpa lesen sah itu dikesan hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di daerah itu.
Menurut kenyataan itu, operasi dijalankan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Dalam operasi itu sebuah premis kediaman telah diperiksa dan mendapati pelbagai spesies burung yang dilindungi, yang disimpan tanpa lesen yang sah.
"Pada hari yang sama dalam operasi yang berasingan, anggota penguatkuasa Perhilitan telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah lagi premis.
"Hasil pemeriksaan menemui 21 ekor burung yang dilindungi disimpan tanpa lesen," katanya.
Menurutnya, semua hidupan liar itu telah disita untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!