KDN FC fokus berdepan Negeri Sembilan FC

Kesebelasan KDN FC. Foto Facebook Johor Southern Tigers
Kesebelasan KDN FC. Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

SETELAH tumpas 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadum Sultan Ibrahim pada Ahad, skuad Kelantan Darul Naim (KDN) FC kini mahu memberikan fokus sepenuhnya pada aksi berdepan Negeri Sembilan FC, Jumaat ini.

Menurut Penolong Ketua Jurulatih KDN FC, Rezal Zambery Yahya, aksi berdepan skuad Hoben Jang Hoben itu penting untuk skuad Kijang Emas itu mula bangkit dan keluar daripada kelompok bawahan liga ketika ini.

“Pada saya kemenangan berdepan Negeri Sembilan adalah harapan kita untuk naik semula dan kita pun rasakan second window (jendela perpindahan kedua) kali ini berikan harapan baharu kepada kita.

“Berdasarkan kepada permainan kita apabila jumpa JDT ada banyak juga perkara positif..walau kita turunkan ramai pemain baharu, kita boleh jaringkan gol, ada gerakan-gerakan berbahaya dan pemain import kita, Washington (Santos), nampak lebih baik daripada pemain import sebelum ini.

“Insya-ALLAH, ada lagi 14 game (perlawanan) untuk kita habiskan musim ini dan kita nampak kesungguhan pemain secara berperingkat. Banyak lagi perlawanan dan bermula dengan Negeri Sembilan kita berazam untuk bangkit,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Untuk rekod, KDN FC kini menghuni tangga tercorot Liga Super dengan hanya meraih tiga mata hasil satu kemenangan dan tewas sembilan kali daripada 10 perlawanan setakat ini.

Sementara itu Rezal Zambery mengakui faktor keletihan merupakan sebahagian faktor yang menyebabkan pemain skuad Kijang Emas itu hilang fokus setelah beraksi baik mengekang asakan-asakan tuan rumah pada babak pertama.

Katanya, faktor tersebut juga dilihat telah mengakibatkan pintu gol pelawat dibolosi sebanyak enam kali pada perlawanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya kalau dah kena ‘enam’ tu, maknanya, kita tak jalankan tugas dengan baik. Apa pun, segala kelemahan akan kita atasi untuk memastikan kebangkitan selepas ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!