Sirah Nabi Muhammad bukan sekadar catatan sejarah ulangan setiap tahun

SIRAH Nabi Muhammad SAW bukan sekadar catatan sejarah yang diulang cerita setiap tahun, tetapi sebagai panduan yang hidup dan relevan untuk kita. -Gambar hiasan/ Foto kecil: DR MOHD SHAFIQ SAHIMI
SIRAH Nabi Muhammad SAW bukan sekadar catatan sejarah yang diulang cerita setiap tahun, tetapi sebagai panduan yang hidup dan relevan untuk kita. -Gambar hiasan/ Foto kecil: DR MOHD SHAFIQ SAHIMI
A
A
A

SABAN tahun, umat Islam di Malaysia menyambut Maulidur Rasul dengan penuh rasa syukur dan kasih sayang yang mana ia menjadi platform penting bagi kita untuk memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Masakan tidak, insan mulia itu membawa perubahan besar kepada tamadun manusia - daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kejahilan kepada petunjuk dan daripada kesesatan kepada kebenaran.

Sepanjang sambutan itu setiap tahun, pelbagai aktiviti dianjurkan seperti ceramah, jamuan dan pertandingan. Semua itu adalah usaha positif untuk meraikan hari-hari kebesaran Islam khususnya memperingati hari kelahiran Rasulullah SAW.

Apa yang lebih penting sebenarnya adalah bagaimana kita dapat mengambil kekuatan dan inspirasi daripada sirah Baginda untuk menghadapi cabaran kehidupan pada era milenium kini.

Betapa pentingnya kita melihat sirah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar catatan sejarah yang diulang cerita setiap tahun, tetapi sebagai panduan yang hidup dan relevan untuk kita. Kehidupan baginda SAW sarat dengan pedoman yang dapat diaplikasikan dalam apa jua keadaan dan zaman.

CONTOHILAH setiap perbuatan, kata-kata dan tindakan Baginda yang merupakan hidayah serta pedoman untuk kita teladani. -Foto: Canva
CONTOHILAH setiap perbuatan, kata-kata dan tindakan Baginda yang merupakan hidayah serta pedoman untuk kita teladani. -Foto: Canva

Mengertilah, setiap umat Islam baik individu, keluarga mahupun masyarakat pasti akan berhadapan dengan pelbagai krisis. Boleh jadi krisis kekeluargaan, akhlak, sosial, ekonomi ataupun geopolitik.

Artikel Berkaitan:

Maka, dalam sambutan Maulidur Rasul, kita perlu mengambil peluang untuk mengkaji bagaimana sirah Nabi Muhammad SAW dapat memberikan penyelesaian kepada cabaran-cabaran tersebut.

Ketahuilah bahawa sirah Nabi Muhammad SAW adalah satu sumber panduan yang jelas.

Dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati ALLAH banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab: 21)

Ayat itu mengingatkan kita bahawa Nabi Muhammad SAW bukan sekadar ikon dalam ibadah dan akhlak, tetapi Baginda juga merupakan contoh teladan dalam setiap aspek kehidupan.

Bahkan, setiap perbuatan, kata-kata dan tindakan Baginda adalah hidayah serta pedoman untuk kita teladani.

SEBAGAI umat Nabi Muhammad SAW, kita diseru untuk mengambil langkah baharu dalam menghayati Maulidur Rasul dengan tidak sekadar memperingati kisah Nabi semata-mata, sebaliknya jadikan kehidupan Baginda sebagai panduan yang kita ulangi dalam kehidupan seharian. -Foto: Canva

Oleh itu, umat Islam diseru untuk mengambil langkah baharu dalam menghayati Maulidur Rasul kali ini. Jangan sekadar memperingati kisah Nabi semata-mata, sebaliknya jadikan kehidupan Baginda sebagai panduan yang kita ulangi dalam kehidupan seharian.

Hanya dengan cara itu kita akan dapat mencontohi sebaik-baik Nabi dan seterusnya menjadi sebaik-baik umat.

*Artikel ditulis oleh Dr Mohd Shafiq Sahimi yang merupakan Pensyarah Kanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!