[VIDEO] Alif Teega, Aisyah Hijanah didakwa salah guna wang derma RM1.52 juta

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pempengaruh, Alif Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, masing-masing atas 10 pertuduhan kes salah guna wang derma berjumlah RM1,526,372.16 sejak tiga tahun lalu.

Alif atau Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, dan Aisyah Hijanah Azhari, 26, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Alif Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah tiba di Mahkamah Sesyen di sini untuk menghadapi pertuduhan kes jenayah, dipercayai membabitkan isu salah guna dana awam, baru-baru ini. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Alif Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah tiba di Mahkamah Sesyen di sini untuk menghadapi pertuduhan kes jenayah, dipercayai membabitkan isu salah guna dana awam, baru-baru ini. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

“Faham, mohon dibicarakan,” kata pasangan suami isteri itu.

Mengikut semua pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama, secara tidak jujur menyalahgunakan wang sedekah bagi jumlah berkenaan, dengan nilai terendah ialah RM438.38 sementara tertinggi RM425,890.64.

Ia membabitkan 10 program sedekah iaitu pek makanan, kurma, korban, al-Quran dan set pakaian untuk orang miskin di Makkah serta Madinah, termasuk anak yatim, mangsa banjir di Pantai Timur.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank dan CIMB Bank, Bandar Baru Bangi, di sini antara 11 Mei 2021 hingga 2 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Awang Kerisnada membenarkan dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM50,000 dan syarat tambahan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.

“Memandangkan tertuduh pertama telah menyerahkan pasport kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, maka tertuduh kedua iaitu Aisyah Hijanah perlu menyerahkan dokumen perjalanan sama kepada mahkamah di sini, hari ini.

“Kedua-dua tertuduh juga tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi," kata hakim itu yang kemudiannya menetapkan 27 November depan untuk sebutan semula kes.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua diwakili peguam, Mohd Shahrullah Khan.

Pada Jumaat lalu, Alif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas dua pertuduhan salah guna harta bagi program infaq iftar di Mekah, Syria dan Palestin serta korban, berjumlah RM63,605.48 pada April dan Jun lalu.

Pada 11 Julai lalu, seorang pempengaruh dan isterinya ditahan reman tujuh hari, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah, bermula 2022 lalu.

Ia susulan, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma, dengan peratusan yang tinggi.

Selain itu, pasangan itu juga dikatakan hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.

Bagaimanapun, pasangan itu tampil dan menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah.

Selain itu, pasangan itu juga dikatakan hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.

Bagaimanapun, pasangan itu tampil dan menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah.

@sinarharianonline

“Faham, mohon dibicarakan,” kata pasangan suami isteri itu #fyp #SinarHarian #AlifTeega #AisyahHijanah #Derma #Mahkamah #SPRM

Hard News - DM Production

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!