Kenapa tidak wajibkan ‘gaji kehidupan wajar’?

Gaji minimum perlu dipatuhi bagi melindungi kebajikan pekerja di Malaysia
Gaji minimum perlu dipatuhi bagi melindungi kebajikan pekerja di Malaysia
A
A
A

Isu gaji merupakan isu yang sangat menarik perhatian ramai kerana dengan gaji pekerja boleh menjadi lebih produktif dan ia juga boleh mencetuskan ketidakharmonian sesama sendiri.

Walaupun terdapat banyak konsep gaji yang diguna pakai di Malaysia untuk mengukur struktur gaji, seperti gaji minimum, gaji kehidupan wajar, gaji progresif dan sistem gaji berkaitan produktiviti (PWLS), konsep yang sering didebatkan ialah gaji minimum dan gaji kehidupan wajar.

Orang ramai sering keliru dengan dua konsep ini kerana ia berkait rapat dengan gaji asas dan kos sara hidup. Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia melalui Perintah Gaji Minimum (PGM) pertama iaitu PGM 2012 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013.

Gaji minimum merujuk kepada kadar gaji terendah yang ditetapkan oleh kerajaan. Ia bertujuan melindungi pekerja daripada dibayar terlalu rendah berbanding gaji pasaran. Dengan menetapkan gaji minimum, kerajaan memastikan pekerja menerima bayaran yang sekurang-kurangnya cukup untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Kadar terkini gaji minimum yang berkuat kuasa sekarang ini ialah RM 1,500.

Penentuan kadar ini telah melalui beberapa fasa rundingan antara majikan dan pekerja untuk menjamin keharmonian pasaran buruh. Gaji kehidupan wajar

Sebaliknya, gaji kehidupan wajar atau living wage adalah konsep yang lebih meluas, merangkumi pendapatan yang membolehkan isi rumah mencapai taraf hidup yang lebih selesa.

Pelaksanaan gaji kehidupan wajar ini adalah satu pilihan kepada majikan kerana penentuannya yang berbeza mengikut lokasi dan kos sara hidup di sesuatu kawasan.

Artikel Berkaitan:

Gaji kehidupan wajar bukan sahaja mencakupi keperluan asas, tetapi juga memberi ruang untuk penglibatan sosial, perkembangan peribadi, dan kehidupan yang bebas daripada tekanan kewangan yang berlebihan.

Contohnya, menurut kajian oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2018, anggaran gaji kehidupan wajar di Kuala Lumpur adalah seperti individu bujang sebanyak RM2,700 sebulan; pasangan tanpa anak sebanyak RM 4,500 sebulan dan pasangan dengan dua anak RM 6,500 sebulan.

Wajib gaji minimum

Terdapat beberapa sebab mengapa kerajaan memilih untuk mewajibkan gaji minimum tetapi tidak menawarkan atau mewajibkan gaji kehidupan wajar secara meluas antaranya ialah implikasi ekonomi, keberkesanan pelaksanaan, keseimbangan pasaran buruh dan peranan kerajaan.

Di bawah implikasi ekonomi, ia melibatkan tiga perkara asas iaitu kos kepada majikan, inflasi dan pelaburan asing.

Kadar terkini gaji minimum yang berkuat kuasa sekarang ini ialah RM 1,500.
Kadar terkini gaji minimum yang berkuat kuasa sekarang ini ialah RM 1,500.



Melalui kos kepada majikan, ia mewajibkan gaji kehidupan wajar boleh meningkatkan kos operasi syarikat, terutamanya untuk perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Keadaan ini mungkin menyebabkan majikan menutup operasi kerana tidak mampu membayar gaji mengikut keperluan seseorang. Situasi ini boleh mendorong kepada penambahan kadar penganguran kerana pemberhentian kerja yang mungkin akan berlaku.

Menerusi inflasi pula, kenaikan gaji yang ketara boleh menyebabkan inflasi.

Walaupun inflasi dari kenaikkan gaji ini dijangka berlaku dalam jangka masa pendek sahaja, namun dikhuatiri eksploitasi harga yang berlaku menyebabkan inflasi akan terus berlarutan lebih panjang.

Keadaan ini boleh menurunkan kuasa beli apabila harga barang meningkat secara mendadak.

Sementara itu, pelaburan asing pula melibatkan kos buruh yang lebih tinggi mungkin menjadikan Malaysia kurang menarik kepada pelabur asing yang mungkin memilih negara lain dengan kos buruh yang lebih rendah.

Ini boleh memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara dan peluang pekerjaan.

Keberkesanan pelaksanaan

Kerajaan juga memilih untuk mewajibkan gaji minimum tetapi tidak menawarkan atau mewajibkan gaji kehidupan wajar secara meluas kerana keberkesanan pelaksanaan.

Di bawah keberkesanan pelaksanaan, terdapat dua faktor yang perlu dilihat iaitu kesukaran dalam penetapan da kepelabagaian sektor.

Melalui kesukaran penetapan menunjukkan gaji kehidupan wajar perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos sara hidup yang berbeza mengikut lokasi, saiz keluarga, dan keperluan peribadi.

Ini menjadikannya sukar untuk menetapkan satu kadar yang sesuai untuk semua.

Bagi kepelbagaian sektor pula menunjukkan sektor ekonomi yang berlainan mempunyai kemampuan yang berbeza untuk membayar gaji yang lebih tinggi.

Sektor seperti perhotelan atau pertanian mungkin lebih terjejas berbanding sektor perkhidmatan atau mana-mana sektor yang mempunyai persaingan yang tinggi.

Sementara itu, dibawah keseimbangan pasaan buruh terapat pasaran kerja fleksibel dan penggangguran dan pekerjaan tidak formal.

Melalui pasaran kerja fleksibel, kerajaan mungkin lebih cenderung mengekalkan pasaran buruh yang fleksibel.

Keadaan ini mempunyai implikasi baik dan buruk serta turut bergantung kepada kekuatan pengaruh majikan atau pekerja dalam penentuan kadar upah.

Di bawah pengangguran dan pekerjaan tidak formal pula ialah peningkatan pekerja yang akan terlibat di dalam sektor tidak formal dijangka akan terus meningkat.

Apabila peningkatan penglibatan kumpulan ini meningkat, ia akan menyebabkan perlindungan dan sekuriti sosial pekerja akan turut terjejas dan membawa kepada ketidakstabilan ekonomi.

Antara sebab lain kerajaan memilih untuk mewajibkan gaji minimum tetapi tidak menawarkan atau mewajibkan gaji kehidupan kerana peranan kerajaan.

Kerajaan sering memilih gaji minimum sebagai pendekatan yang lebih praktikal dan seimbang untuk melindungi pekerja di samping mengekalkan kestabilan ekonomi.

Ia sebagai alat untuk melindungi pekerja daripada eksploitasi dan memastikan mereka mendapat bayaran asas yang mencukupi.

Gaji kehidupan wajar adalah lebih kompleks untuk dilaksanakan secara wajib, namun ia merupakan satu pilihan kepada majikan seandainya majikan merasakan iaboleh meningkatkan keuntungan dan produktiviti syarikat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, perbezaan utama antara gaji minimum dan gaji kehidupan wajar adalah matlamat serta kesannya terhadap kehidupan pekerja.

Gaji minimum mungkin cukup untuk menampung keperluan asas tetapi tidak mencukupi untuk menjamin kehidupan yang berkualiti.

Sebaliknya, gaji kehidupan wajar memastikan pekerja dapat hidup dengan selesa dan terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.

Dalam usaha Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi, mengkaji semula struktur gaji yang sedia ada adalah penting.

Memahami perbezaan antara gaji minimum dan gaji kehidupan wajar adalah langkah awal ke arah memastikan pasaran buruh yang dinamik.

Pekerja memahami gaji yang diterima, manakala majikan membayar gaji yang setimpal. Gaji kehidupan wajar adalah satu pilihan kepada majikan manakala gaji minimum perlu diwajibkan untuk menjaga kebajikan pekerja.

Gaji minimum sememangnya tidak boleh terlalu tinggi kerana ia merupakan gaji lantai. Sememangnya juga konsep gaji minimum ini perlu dimantapkan dengan konsep upah yang lain.

Gaji minimum sahaja tidak cukup untuk membaiki struktur gaji dan pasaran buruh yang seimbang.

No Image Caption



Rusmawati Said ialah Profesor Ekonomi Buruh di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!