GISBH: Negeri Sembilan buat keputusan selepas jawatankuasa muzakarah MKI bersidang

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan akan membuat keputusan berhubung isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) setelah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bersidang.

Mufti Negeri Sembilan, Prof Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badarudin berkata, buat masa ini jawatankuasa itu belum membuat apa-apa keputusan mengenainya.

"Negeri Sembilan masih menunggu laporan penuh siasatan polis berserta bukti sebelum membuat keputusan mengenai kumpulan tersebut.

"Lagi pun Negeri Sembilan mempunyai fatwa yang telah diwartakan berkaitan Aurad Muhammadiah dan Arqam yang dilihat memadai dan mencakupi penyelewengan yang terdapat di dalam GISBH hari ini.

"Jadi kita akan memutuskan apa-apa perkara berkaitan setelah MKI bersidang nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, isu berkaitan doktrin fahaman GISBH akan dibincang oleh MKI yang bersidang dari Selasa hingga Khamis ini.

Pihaknya turut menyokong penuh tindakan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menahan dan mendakwa sebilangan pemimpin serta ahli GISBH.

"Jakim telah mengadakan pertemuan bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini juga, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa fahaman yang didukung oleh GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya dari segi batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia juga adalah kesinambungan Al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Isu itu turut mendapat reaksi daripada Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang bersetuju ia perlu dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI sebelum sebarang fatwa dibuat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!