Guru selamat selepas langgar gajah di Mersing

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa gajah liar berkeliaran di Kampung Triang Besar. Gambar hiasan
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa gajah liar berkeliaran di Kampung Triang Besar. Gambar hiasan
A
A
A

MERSING - Seorang guru bernasib baik apabila terselamat selepas kenderaan yang dipandunya terlanggar seekor gajah di Kilometer 6 Jalan Nitar-Mersing di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian menimpa wanita berusia 30 tahun itu, kira-kira jam 6.45 pagi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta jenis Honda City yang dalam perjalanan dari Endau menuju ke Kahang, Kluang itu terlanggar gajah berkenaan yang berada di laluannya.

"Bagaimanapun, wanita yang memandu berseorangan itu tidak mengalami kecederaan serius dan difahamkan selepas kejadian dia hanya duduk di dalam keretanya sehingga gajah terbabit beredar.

"Keadaan gajah tersebut pula tidak dapat dikenal pasti yang mana haiwan liar itu telah beredar dari lokasi kejadian dan menuju ke ladang sawit berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sharif Shai turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan tidak berasa panik sekiranya berdepan situasi sama.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing di talian 07-7992222 atau menerusi hotline di 07-7996224 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa gajah liar berkeliaran di Kampung Triang Besar dan dua lelaki mendakwa terserempak dengan harimau belang ketika memancing berhampiran ladang kelapa sawit Felda Nitar 2 di sini.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, sejak 2020 hingga Ogos lepas, sebanyak 510 aduan konflik gajah-manusia dilaporkan membabitkan enam daerah iaitu Mersing dengan 181 kes, Kluang (160), Kota Tinggi (111), Segamat (39), Batu Pahat (12) dan Johor Bahru (tujuh). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!